Cheng Hoe berkata, ini termasuk tidak menolak kemungkinan menggunakan khidmat arkitek tengah Terengganu FC, Lee Tuck yang kini dalam proses menyiapkan segala dokumen berkaitan proses naturalisasi beliau.

Katanya selain itu empat pemain iaitu Syahmi Safari, Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Syamer Kutty Abbar turut berpotensi berada dalam senarai pemain kesebelasan utama.

“Lee Tuck memang bermain dengan begitu baik dan mempunyai ciri-ciri sebagai pemain kebangsaan dan kami berharap dia boleh mendapatkan pasport Malaysia secepat mungkin supaya kita boleh daftarkan untuk (bersama) pasukan Malaysia di kelayakan Piala Dunia nanti,” katanya.

Cheng Hoe bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Klinik Permainan Bola Sepak di Sekolah Menengah Lambor Kiri dekat sini, hari ini.

Seramai 250 pelajar sekolah dari daerah Perak Tengah menyertai klinik tersebut yang julung kali disertai jurulatih kebangsaan iaitu Cheng Hoe, penolong jurulatih, S. Balachandran dan jurulatih penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz.

Menjelas lanjut, Cheng Hoe berkata sehingga kini pihaknya belum memanggil mana-mana pemain namun sentiasa memantau prestasi pemain di kelab atau negeri sebelum memulakan latihan untuk skuad kebangsaan pada 27 Mei nanti.

Beliau berkata keputusan mengenai kesebelasan utama dijangka diputuskan setelah perlawanan persahabatan sama ada menentang Pakistan, Nepal atau Bangladesh yang dijadual pada 2 Jun depan.

“Kami masih memantau pemain yang akan diserapkan dan berharap pemain tidak keletihan dan mengalami kecederaan yang sedikit merisaukan saya,” katanya.

Malaysia yang kini berada pada ranking ke-168 dunia dan ke-35 daripada 46 negara Asia akan melayan kunjungan Timor Leste yang dijadual pada 6 Jun atau pada sambutan Aidilfitri kedua, manakala perlawanan timbal balik pada 11 Jun di stadium yang akan ditetapkan kemudian. - BERNAMA