SHAMSUL ANWAR SULAIMAN
SHAMSUL ANWAR SULAIMAN

Dengan kejayaan yang mula ditonjolkan oleh LBR itulah yang membuatkan beliau berani dan bersema­ngat untuk menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan dipilih sempena Kongres­nya bulan depan.

Naib Presiden kelab Liga Super, Felda United itu berkata, beliau berharap apa yang telah dilakukannya terhadap LBR akan dipertimbangkan oleh 39 perwakilan daripada ahli gabungan FAM yang akan mengundi pada 25 Mac nanti.

“Saya juga mendapat tiga pencalonan untuk kerusi ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM tetapi saya memutuskan untuk bertan­ding jawatan Naib Presiden. Saya orang baharu dan boleh dianggap ‘underdog’ dan saya tidak menyertai mana-mana kem atau pakatan dengan calon lain.

“Saya harap boleh diterima mana-mana pihak pun kerana saya percaya saya menawarkan diri dan mengambil cabaran ini bukanlah untuk saya tetapi untuk rakyat dan kesinambu­ngan bola sepak akar umbi,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sembilan calon telah mengesahkan diri untuk bertanding merebut empat kerusi Naib Presiden FAM.

Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Datuk Takiyuddin Hassan akan mempertahankan jawatan No. 3 dalam hierarki FAM itu manakala enam lagi calon pencabar ialah Datuk S. Sivasundaram, Mohd. Joehari Mohd. Ayob, Datuk Ab. Ghani Hassan, Datuk Rosmadi Ismail, Datuk Astaman Abdul Aziz dan Marzuki Sulong.

Shamsul juga merupakan ahli Jawatankuasa Pertandi­ngan Antarabangsa FAM sejak 2013 selain menjawat Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Kangsar dan Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Konfe­derasi Hoki Malaysia (KHM).

LBR, katanya, yang merupakan cetusan idea Presiden FAM sekarang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan sudah memasuki musim kedua, turut memerlukan hubungan kerjasama yang lebih rapat daripada badan induk itu supaya dapat terus dikembangkan.

“Lebih 100 pemain amatur daripada dua musim LBR berjaya dise­rapkan ke Liga Super, Liga Perdana, Liga FAM, Piala Presiden dan Belia serta ada yang sudah menikmati status profesional dengan pasukan seperti Kuantan FA, Terengganu dan Kelantan. Juara musim lalu, Kuching FA kini beraksi dalam Liga FAM,” katanya.