Penyerang kontroversi, Mario Balotelli menjaringkan gol pembukaan Nice seawal minit keempat selepas mengumumkan kelahiran anaknya Lion, awal minggu ini.

Bagaimanapun, jaringan kelab dari Perancis itu pantas disamakan oleh Felipe Caicedo seminit selepas itu untuk menjadikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi babak pertama.

Bersambung babak kedua, Lazio terus garang dengan meledakkan dua gol menerusi pemain tengahnya, Sergej Milinkovic-Savic pada minit ke-65 dan ke-89 untuk membantu pasukan itu menerajui Kumpulan K dan meneruskan rekod tanpa kalah di laman lawan bagi aksi Liga Europa kepada 11 perlawanan.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa satu lagi pasukan Serie A, AC Milan apabila juara Eropah tujuh kali itu sekadar diikat tanpa jaringan bertemu AEK Athens di laman sendiri bagi aksi Kumpulan D.

Dalam satu lagi aksi Liga Europa, Real Sociedad telah melupakan kekalahan 3-1 di tangan Zenit St Petersburg apabila menjadikan Vardar sebagai mangsa mereka dengan membelasah kelab itu 6-0. - AFP