Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yakin sasaran itu boleh dicapai jika melihat kepada sistem pembangunan bola sepak peringkat akar umbi yang sedang diusahakan menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) ketika ini.

Katanya, Malaysia tidak boleh berharap untuk menyertai Piala Dunia menerusi pemain yang dilahirkan daripada sistem lama yang terbukti gagal tetapi mesti menghasilkan generasi baharu yang digilap menerusi program baharu.

“Apa yang memberi kegembiraan bermakna kepada Malaysia adalah bola sepak, jadi kita sedang berusaha keras ke arah itu namun hasilnya tidak boleh diperoleh dalam tempoh yang singkat.

“Cuba anda bayangkan, sistem yang ada pada hari ini sudah berusia 20 atau 30 tahun, dan sebab itu kita cuba melalui program pembangunan akar umbi dengan mewujudkan NFDP dan apa yang FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) lakukan sekarang, (tetapi) mengambil masa yang lama,” katanya ketika sesi dialog TN50x: Aspirasi Belia CIMB ‘Meneraju Perbankan dan Memacu Sukan di Malaysia’.

Bola sepak turut menjadi sebahagian agenda dalam TN50 (Transformasi Nasional 2050) dengan sasaran adalah layak menyertai Piala Dunia pada tahun 2050.

Khairy berkata, Malaysia juga berhasrat untuk membida menjadi tuan rumah kejohanan berprestij itu pada 2034.

“Kami mahu mengubah struktur permasalahan yang dihadapi dan ini mengambil masa. Saya berdoa dan berharap pada 2050 kita akan layak beraksi dalam Piala Dunia, sebab itu saya mencadangkan kepada FAM agar membida untuk menjadi tuan rumah pada 2034, kemudian kita layak ke kejohanan itu,” katanya.

Keyakinan Khairy bahawa bola sepak negara sudah berada di tahap tinggi ketika itu adalah berdasarkan kepada hasil yang telah ditunjukkan oleh sistem pembangunan NFDP setakat ini apabila skuad bawah 13 tahun daripada program tersebut muncul juara kejohanan Piala Iber Costa del Sol di Sepanyol pada 2015.

NFDP dilancarkan pada 10 April 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersekali dengan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang. Program itu merupakan satu usaha meningkatkan kualiti bola sepak negara untuk menjadi sebuah kuasa yang disegani di peringkat antarabangsa.

Menyentuh mengenai prestasi skuad negara yang begitu buruk ketika ini termasuk tersingkir di peringkat kelayakan Piala Asia 2019 tanpa mencatat walaupun satu kemenangan, Khairy berkata beliau menyedari peminat setia Harimau Malaya mahukan keputusan segera dan mencadangkan jalan pintas diambil iaitu mengambil pemain naturalisasi.

“Sudah pasti peminat tidak sabar dan mereka mahukan keputusan segera namun kami tidak boleh melakukannya. Ada cara untuk mendapatkan keputusan segera iaitu dengan mengambil pemain naturalisasi namun itu bukan pilihannya,” katanya.