Ketua Jurulatih Lang Merah, Nidzam Adzha Yusoff berkata, Liridon Krasniqi dan Paulo Rangel, Andik Vermansyah, Akhyar Rashid dan Ariff Farhan Isa terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

“Ketiadaan pemain utama bukan alasan untuk Kedah mengaku kalah dengan mudah, sebaliknya pemain lain yang diberi kepercayaan tetap turun untuk mencari kemenangan bagi meraih kedudukan lebih baik dalam carta Liga Super,” katanya di sini, hari ini.

Nidzam Adzha yakin, kesebelasan pemain Lang Merah sedia memberi komitmen, fokus serta bersemangat dalam misi memburu kemenangan walaupun di stadium lawan.

Sementara itu, Nidzam berkata, dua pemain skuad Piala Presiden, Hidhir Idris dan Fadzrul Danel antara yang akan dipanggil bagi mengisi kekosongan.

“Dua pemain muda itu mampu memikul tugas berat berdasarkan prestasi mereka sebelum ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nidzam berkata, pemain pertahanan import, Alvaro Silva akan kembali menguatkan cabaran Kedah selepas menamatkan penggantungan. - UTUSAN ONLINE