Namun, ketua pasukan Khai­rul Helmi Johari berkata dia dan rakan sepasukannya perlu segera menumpukan fikiran mereka kepada aksi di tengah padang, apatah lagi lawan yang akan ditemui di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam esok bukan calang-calang pasukan tetapi adalah juara 33 kali pertandingan itu.

Katanya, di sebalik masih bersedih dengan kemangkatan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah empat hari lalu, anggota skuad Lang Merah tetap membuat persediaan dari segi fizikal dan mental untuk memastikan pasukan membawa pulang bekalan selesa untuk pertemuan ula­ngan di Stadium Darul Aman pada 23 September kelak.

Jelasnya, rata-rata pemain cukup bersemangat untuk menampilkan aksi cemerlang bagi menundukkan Selangor di laman sendiri.

“Memang kami masih bersedih namun semangat untuk me­raih kemenangan esok tak pernah luntur.

“Walaupun sudah agak lama tidak bersama kerana kebanyakan daripada kami bermain untuk skuad senior dan bawah 22 kebangsaan yang beraksi dalam KL2017 (Sukan SEA bulan lalu), namun keserasian dan keharmonian di padang masih sama sama.

“Rekod menunjukkan keba­nyakan perlawanan antara Kedah dan Selangor berakhir dengan keputusan seri dan itu menunjukkan kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang. Namun kami tetap yakin untuk meraih keputusan positif malam esok,” katanya di sini hari ini.

Perlawanan itu menjadi tumpuan kerana seakan ulangan perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 dan 2016 yang mana kedua-dua pasukan saling mengecewakan antara satu sama lain.

Sementara itu jurulatih Mohd. Nidzam Adzha Yusoff membe­ritahu, skuadnya akan dibarisi pemain terbaik malam esok.

“Sama ada pemain import ataupun pemain yang baru pulang dari kem kebangsaan, ke­semua mereka cergas untuk ber­aksi,” katanya.