Mengakui dia hanya meneruskan legasi yang ditinggalkan bekas jurulatih Tan Cheng Hoe, yang kini menjadi penolong jurulatih Harimau Malaya, Nidzam percaya pengalaman pemain Kedah beraksi dalam final Piala Malaysia pada 2015 dan 2016 serta Piala Sumbangsih akan memberi sedikit kelebihan untuk Kedah.

“Saya dan pemain tidak terlalu tertekan kerana dalam tiga tahun sebelum ini kami telah beraksi di tiga pentas final dan itu akan memberi sedikit kelebihan untuk pemain cepat menyesuaikan diri.

“Lagipun mereka (pemain) telah bersama selama tiga tahun dan nampak selesa antara satu sama lain. Jika setiap pemain mampu menjalankan tugas de­ngan baik esok maka saya percaya tidak mustahil untuk kita muncul juara,” katanya dalam sidang akhbar menjelang perlawanan akhir Piala FA di sini hari ini.

Sekiranya Kedah menang di Stadium Shah Alam esok, kejayaan itu akan menamatkan penantian mereka selama sembilan tahun untuk merangkul Piala FA sejak kali terakhir memenangi­nya pada tahun 2008.

Bagaimanapun, legenda skuad Hijau Kuning itu yang telah berjaya menjulang Piala FA sebanyak dua kali sebagai pemain pada 90-an mengakui kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama rata untuk muncul juara.

Nidzam turut menegaskan kemenangan 4-1 ke atas Pahang dalam aksi Liga Super sebelum ini bukan jaminan untuk anak didik­nya bakal berdepan laluan mudah.

“Kedua-dua pasukan mempunyai kualiti dan kelebihan tersendiri. Jurulatih bukan penentu tetapi kesebelasan utama esok yang akan menentukan kejayaan di atas padang.

“Pentas final dan liga adalah berbeza dan kemenangan lalu tidak boleh dijadikan ukuran bahawa Kedah akan berdepan laluan mudah untuk muncul juara,” jelasnya yang turut mengingatkan anak didiknya agar tidak me­lakukan kesilapan mudah dalam perlawanan tersebut.