Buktinya pada 2007, baginda sanggup mengenepikan protokol dan berjalan kaki melalui kesesakan jalan raya sejauh dua kilometer bagi memberi sokongan padu kepada pemain-pemain Kedah yang beraksi dalam final Piala FA antara Kedah dan Perlis di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Maka jelas Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar (gambar) pemergian Almarhum Tuanku semalam sememangnya menghadirkan kesan yang mendalam buat pihak pengurusan serta pemain.

"Kami sedih dengan kemangkatan tuanku. Almarhum adalah peminat nombor satu bola sepak Kedah dan sentiasa prihatin terhadap apa yang berlaku di sekeliling persatuan dan pemain.

"Sumbangan baginda cukup besar. Namun kami bersyukur kerana kebelakangan ini kita berjaya membentuk sebuah pasukan yang kuat dan mampu untuk menghadiahkan Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih buat baginda," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, dalam apa jua keadaan baginda sentiasa mahu mengambil tahu mengenai perkembangan pasukan terutamanya pada hari perlawanan.

"Jika baginda tidak berangkat ke stadium disebabkan urusan tertentu, wakil baginda seperti Tunku Bendahara contohnya akan sentiasa memberi perkembangan perlawanan kepada baginda menerusi telefon.

"Paling tidak dilupakan pada 2015, pihak pengurusan dan pemain masih dijemput ke Istana Negara bersama Tuanku biarpun tewas di final Piala Malaysia kepada Selangor. Akhirnya pada 2016, kami berjaya menjuarai piala itu dan kami sekali lagi dijemput ke sana untuk meluangkan masa dengan baginda," katanya.

Sementara itu, tonggak pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar yang turut hadir ke memberi penghormatan terakhir kepada baginda memberitahu, tuanku sememangnya sentiasa menunjukkan rasa kasih baginda kepada para pemain Kedah.

"Ada masanya tuanku kelihatan gering namun baginda tetap berangkat menyaksikan perlawanan dan memberi kata-kata semangat kepaad pemain. Bagi kami, pemergian tuanku sememangnya satu kehilangan besar.

"Dalam majlis di Istana Anak Bukit beberapa bulan lalu, saya sempat berbual dengan Tuanku. Baginda bertanyakan umur selain mengajukan soalan sama ada saya akan terus kekal di Kedah atau tidak untuk musim depan," katanya.