Dalam pertembungan antara dua finalis tahun lalu, skuad Lang Merah mengejutkan tuan rumah apabila mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi penyerang import dari Denmark, Ken Ilso Larsen pada minit ketujuh dan ke-53.

Biarpun berjaya merapatkan jurang menerusi tandukan penyerang kelahiran Sepanyol, Rufino Segovia pada minit ke-53, namun pemain kebangsaan, Syazwan Zainon kembali menjarakkan kedudukan buat Kedah dengan menambah gol ketiga pada minit ke-68.

Rufino mengurangkan defisit gol Red Giants apabila menyudahkan hantaran lintang pemain sayap Indonesia, Andik Vermansah pada minit ke-71 untuk kedudukan 2-3, keputusan yang sekurang-kurangnya memberi sedikit ‘nafas’ buat gergasi Lembah Klang itu apabila bertandang ke Stadium Darul Aman pada 24 September depan.

Sementara itu, di Stadium Hang Jebat, juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa bekalan selesa apabila beraksi di tempat sendiri selepas menumpaskan Melaka United 4-1.

Dua jaringan penyerang Lebanon, Mohammed Ghaddar pada minit ketujuh dan ke-33 mengetuai kemenangan Harimau Selatan. Dua lagi gol skuad bimbingan Ulisses Morais disempurnakan oleh Natxo Insa (minit ke-68) dan ketua pasukan, Safiq Rahim, lima minit sebelum tamat permainan.

JDT akan menerima kunjungan Melaka United di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 24 September depan.

Di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Muhammad Shahrel Fikri Mohd. Fauzzi muncul wira Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) apabila meledak hatrik untuk melengkapkan hari malang pasukan tuan rumah dengan menumpaskan Felda United 3-1.

Shahrel meletakkan PKNP selesa mendahului 3-0 pada minit ke-10, 45 dan 67, sebelum tuan rumah memperoleh gol tunggal menerusi Hadin Azman pada minit ke-76.

Kekalahan 1-3 menyukarkan misi Felda untuk mara ke separuh akhir apabila bertandang ke Stadium Perak, Ipoh dalam aksi timbal balik, Ahad depan. - UTUSAN ONLINE