Semalam, UAE dipindahkan ke Kumpulan C, dan itu bermakna Malaysia hanya akan berdepan tiga pencabar dalam Kumpulan E iaitu Korea Selatan, Kyrgyzstan serta Bahrain.

“Saya fikir tidak banyak perbezaan sebab kita hanya kurang satu perlawanan dan berdepan cabaran sukar daripada Korea Selatan, Bahrain dan Kyrgyzstan.

“Saya tidak boleh ambil mudah setiap perlawanan,” kata Kim Swee, yang kini berada di Changzhou untuk membawa pasukannya menentang skuad B-23 China dalam aksi pemanas badan terakhir sebelum temasya di Jakarta-Palembang.

Undian semula dilakukan selepas Pengarah Pertandingan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shin Man-gil berkata, badan induk bola sepak Asia itu dimaklumkan oleh Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Penganjur Sukan Asia 2018 (Inasgoc), Iraq membuat keputusan untuk menarik diri.

Sementara itu, Kim Swee berkata, pertemuan menentang China dalam aksi persahabatan esok adalah peluang terbaik buatnya mendapatkan bayangan kesebelasan utama yang bakal diturunkan pada Sukan Asia.

Katanya, beliau tidak terlalu memikirkan keputusan perlawanan di Stadium Pusat Sukan ­Olimpik Changzhou itu, sebalik­nya mahu melihat prestasi serta kombinasi yang ditunjukkan oleh 22 pemain yang dibawa ke China.

“Saya tidak terlalu memikir keputusan (mencari kemena­ngan) kerana ingin melihat kombinasi antara pemain dan penting untuk saya membentuk kesefahaman dalam kalangan mereka memandangkan ini perlawanan pertama selepas Kejohanan AFC B-23, Januari lalu.

“Sama ada saya menurunkan kesebelasan terbaik esok bergantung kepada situasi cuma apa yang pasti saya akan membariskan pemain yang sudah berada dalam fikiran buat masa sekarang, malah akan memberi peluang kepada semua pemain yang cergas untuk beraksi,” katanya.

Ini adalah aksi pertama skuad B-23 selepas kali terakhir menentang Korea Selatan dalam suku akhir Kejohanan AFC B-23, ­Januari lalu yang berkesudahan Malaysia tewas 1-2.

Acara bola sepak lelaki Sukan Asia 2018 bermula pada 10 Ogos, dan Malaysia memulakan kempen dengan menentang Kyrgyzstan pada 15 Ogos, diikuti Ko­r­ea Selatan (17 Ogos) dan Bahrain pada 20 Ogos.