Pada perlawanan kedua terakhir dalam Kumpulan H itu, pemain dari Yugoslavia, Marco Simic menjadi pemusnah harapan JDT apabila menyumbat kesemua gol buat skuad Jakmania.

Simic, yang juga bekas pemain Melaka United dan Negeri Sembilan, hanya memerlukan tempoh 12 minit untuk mencipta hatrik di separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, permainan pendahulu Liga Super, JDT bertambah kemas setelah membawa masuk Safiq Rahim, dengan pemain tengah tersebut mencipta beberapa peluang.

Bagaimanapun, JDT yang juga pemenang Liga Super empat kali berturut-turut menjadi tempang berikutan bek kanan Adam Nor Azlin dilayangkan kad merah setelah membuat terjahan keras dari belakang terhadap pemain tengah Persija Ramdani Lestaluhu.

Berbaki tiga minit permainan, Simic melengkapkan kemenangan bergaya Persija menerusi sepakan penalti ekoran pertahanan JDT Azrif Nasrulhaq mengasari Riko Simanjuntak.

Kekalahan tersebut meletakkan juara Piala AFC 2015 itu di tangga ketiga dengan tujuh mata, manakala pendahulu Persija dan Song Lam Nghe An masing-masing berkongsi 10 mata.

Di atas kertas, JDT masih berpeluang meloloskan diri ke peringkat seterusnya dengan perlu menang ke atas kelab Vietnam, Song Lam Nghe An pada 24 April ini di Larkin, namun segalanya perlu bergantung kepada kelebihan jaringan.

Sebagai rekod, JDT pernah tunduk 0-2 kepada Song Lam Nghe An di Stadium Vinh pada 28 Februari lalu.