Berikutan kecederaan terbaharu itu, Lallana, 29, dilaporkan terpaksa berehat beberapa bulan untuk pulih kembali sekaligus memberi tamparan hebat buat pengurus, Jurgen Klopp untuk menurunkan barisan terbaik.

Pemain antarabangsa England itu ditimpa kecederaan tersebut ketika Liverpool menentang Atletico Madrid dalam satu aksi persahabatan di Munich, Jerman semalam.

“Ini adalah berita yang memang kita semua tidak mahu dengar. Le­bih malang, Adam dijangka mengambil masa berbulan-bulan bukan se­minggu dua untuk pulih. Jadi saya rasa kami terpaksa ketepikan dia pada Ogos dan September ini.

“Bulan seterusnya, kami akan pantau dan nilai semula keadaan dia. Kami akan mengambil sikap tunggu dan lihat. Ini kerana Adam adalah pemain yang memiliki sikap profesional kelas dunia setiap kali mengalami kecederaan,” kata Klopp.

Dianggap sebagai pemain yang kerap menjadi pilihan Klopp untuk diturunkan dalam kesebelasan utama musim lalu, Lallana telah melakukan 31 penampilan dalam aksi Liga Perdana Inggeris dan telah menjaringkan lapan gol untuk membantu Liverpool menamatkan musim lalu dalam kelompok empat teratas.

Ini bermakna Lallana terlepas dua aksi timbal balik kelayakan Liga Juara Juara Eropah menentang kelab Jerman, Hoffenheim selain aksi awal musim liga domestik menentang Watford, Crystal Palace, Arsenal, Manchester City, Burnley dan Leicester City. AFP