Dua jaringan awal dalam tempoh 10 minit pertama permainan menerusi Mohd. Izzudin Jahidin (minit pertama) dan Sufizal Ismail (minit ke-10) meletakkan wakil Sarawak itu dalam kedudukan selesa mendahului 2-0.

Bagaimanapun, ledakan kaki kiri Helmi Mohd. Kassim pada minit ke-33 menghidupkan kembali peluang Padang Besar apabila merapatkan jurang 2-1 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Padang Besar FA terus agresif untuk memburu gol penyamaan, sambil Kuching FA lebih banyak bertahan dan hanya mengharapkan serangan balas.

Begitupun, ketika perlawanan berbaki 10 minit untuk ditamatkan, rembatan padu Mohd. Shahfitri Salem dalam kotak penalti memastikan kemenangan Kuching FA, menewaskan penjaga gol lawan, Boon Thinakorn.

Selaku juara, Kuching FA membawa pulang hadiah RM100,000, manakala naib juara meraih RM75,000.

“Alhamdulillah syukur ke hadrat illahi, kami berjaya menjuarai LBR musim pertama ini.

“Jutaan tahniah tidak terhingga kepada pemain-pemain saya serta pengurusan atas kejayaan yang sungguh indah ini.

“Walaupun saya tidak dapat bersama malam final ini, segala perancangan sebelum saya berangkat ke tanah suci telah dijalankan dengan begitu baik. Atas doa semua orang juga kita berjaya menjadi juara.

“Syabas dan terima kasih tak terhingga kepada pemain serta penyokong dan LBR atas penganjuran Pertandingan yang sedang menjadi sebutan sekarang ini.. Tahniah sekali lagi,” kata Ketua Jurulatih Kuching FA, Shahrizan Sahari yang kini menunaikan umrah ketika dipetik dalam Facebook rasmi LBR. - UTUSAN ONLINE