Pendek kata, setiap pasukan perlu bersedia mendapatkan sumber kewangan bagi membentuk pasukan yang mantap untuk mengharungi musim pertandingan yang panjang.

Itu antara dilema beberapa pasukan bola sepak negeri yang bersaing dalam kancah Liga Malaysia kebelakangan ini. Masalah lambat bayar gaji sehingga tertunggak memaksa pemain ‘angkat kaki’ selain terpaksa mengadu kepada pihak tertentu untuk pembelaan atau akhirnya menanggung sendiri penderitaan.

Ada kes seorang pemain dari Pantai Timur mengadu bukan sahaja tidak menerima gaji bahkan tidak dapat hadiah kemenangan yang sepatutnya dikongsi sama. Tentunya hal sebegini tidak seronok di dengar.

Bergantung kepada kebijaksanaan pengurusan persatuan negeri, sumber kewangan biasanya diperoleh menerusi kutipan tiket, penajaan, peruntukan kerajaan negeri (sesuai dengan kedudukan Menteri Besar atau Ketua Menteri sebagai presiden persatuan negeri), hadiah kemenangan atau geran tahunan FAM.

Setiap pasukan perlu beraksi baik untuk menambat penyokong ke stadium dan mendapat pulangan hasil jualan tiket. Mahu atau tidak, mereka perlu mendapatkan khidmat pemain terbaik. Pemain yang bagus atau paling tidak mampu menjadi crowd-puller.

Misalnya pemain dipenghujung usia yang mempunyai nama besar di zaman kehebatan mereka di Eropah atau Afrika. Pada 1995, kelab Pelita Jaya di Indonesia pernah menggunakan khidmat bintang Piala Dunia dari Cameroon, Roger Milla yang nyata berjaya menghiburkan dan menjadi crowd-puller meskipun usianya ketika itu sudah mencecah 40 tahun.

Selangor juga pernah mendapat khidmat bekas penjaga gol Piala Dunia Republik Czech, Karel Stromsik yang berusia lewat 30-an dan menjadi tarikan penonton ke stadium.

Pada masa sama, pihak pengurusan juga mampu melebarkan jaringan kewangan mereka menerusi aspek pemasaran seperti penjualan merchandise secara terkawal atau hanya yang asli (original).

Kita faham jika pasukan yang kekurangan sumber kewangan menghadapi kesukaran kerana mereka perlukan pemain terbaik untuk beraksi cemerlang dan terpaksa membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan pemain terbaik.

Yang peliknya, mereka ini mendapat geran tahunan daripada FAM setiap tahun. Geran berkenaan bertujuan untuk pembangunan belia. Mana hasilnya atau apakah peruntukan itu disalahguna? Mungkin juga FAM boleh melakukan audit secara berkala dengan meminta laporan daripada setiap persatuan negeri tentang apa yang mereka lakukan dengan peruntukan tersebut.

Kepada persatuan negeri yang kurang berduit, berbelanjalah ikut kemampuan. Jangan menjanjikan `bulan dan bintang’ kepada pemain sehingga akhirnya menjerat diri sendiri apabila tiba masa untuk melunaskan bayaran gaji.

Mungkin meletakkan harga patut mengikut gred tetapi disertai ‘bonus’ jika mencapai sasaran menjadi juara agar pemain tidak membandingkan gaji mereka dengan rakan-rakan yang beraksi dalam pasukan-pasukan elit.

Kita bukan lagi di era semi-pro. Kepada persatuan bola sepak negeri, jangan malas. Carilah sumber kewangan dan bertindaklah secara profesional agar sukan ini mampu menjadi satu industri kepada pemain muda berbakat yang mungkin tidak mampu meneruskan kecemerlangan dalam akademik tetapi memberi sumbangan kepada negara.