Berdasarkan statistik, kelab dari Itali itu hanya dibolosi tiga gol dalam 12 perlawanan Liga Juara-juara manakala gergasi Sepanyol itu pula telah menjaringkan gol dalam setiap 64 perlawanan di semua peringkat pertandingan.

Bayangkan, jentera serangan yang dimiliki Real diketuai Cristiano Ronaldo tidak pernah gagal meletakkan bola di dalam jaring sejak kali terakhir seri 0-0 dengan Manchester City pada separuh akhir pertama Liga Juara-juara musim lalu.

Musim ini dalam liga domestik di Sepanyol, Real menjaringkan gol dalam setiap perlawanan La Liga dengan keseluruhannya berjumlah 105. Jurulatih Zinadine Zidane menggunakan formasi antara 4-3-3 atau 4-4-2 untuk mencipta jumlah jaringan tertinggi itu buat kali pertama dalam satu musim.

Dengan Gareth Bale kembali cergas, pastinya menambah bisa Real di bahagian serangan walaupun Zidane belum membuat keputusan sama ada akan menurunkan pemain antarabangsa Wales itu atau pun tidak.

Pilihan lain, Zidane boleh menurunkan Isco yang mempamerkan peningkatan ketara kebelakangan ini dengan disokong Ronaldo dan Karim Benzema yang tidak menyebelahi Bale.

Sehingga ini, ketua pasukan Sergio Ramos sendiri mengaku dia tidak pasti apa pilihan yang akan dibuat Zidane antara Bale dan Isco.

“Kami sendiri tidak tahu banyak senarai pemain yang akan diturunkan. Kami kena tunggu dan lihat apa yang akan berlaku. Cuma berita baiknya, kami ada banyak pilihan untuk menggandingkan pemain terbaik,” tegas Ramos.

Jentera serangan Juventus sebaliknya tidaklah sehebat Real apabila hanya menjaringkan 27 gol dalam kancah domestik Serie A Itali. Cuma yang membanggakan apabila penjaga gol veteran mereka Gianluigi Buffon hanya dibolosi sekali dalam enam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-juara.

Benteng pertahanan yang mantap dibarisi trio Giorgi Chiellini, Leonardo Bonucci dan Andrea Barzagli jelas begitu menonjol dan bijak. Ini dibuktikan ketika menyekat jentera serangan hebat Barcelona dalam suku akhir Liga Juara-juara.

“Kami sedar Juventus memiliki barisan pertahanan yang baik dan hanya melepaskan sedikit gol sahaja. Namun kami juga mempunyai senjata yang berupaya merobek benteng ampuh mereka. Kami akan menggunakan muslihat selain melakukan apa sahaja untuk mendapatkan gol pertama.

“Mungkin melalui tandukan daripada saya atau pun jaringan daripada pemain yang lebih hebat daripada saya,” tambah Ramos.

Ronaldo yang dijangka diletakkan sebagai penyerang tengah telah membuktikan posisi itu amat sesuai dengan dirinya apabila menjaringkan banyak gol menerusi larian, dan dia juga berada pada prestasi terbaik ketika ini.

Sejumlah 13 jaringan yang dilakukannya dalam sembilan perlawanan selain hatrik berturutan di suku akhir dan separuh akhir Liga Juara-juara Eropah sudah cukup untuk meletakkannya sekali lagi sebagai kunci kejayaan Real dalam perlawanan itu untuk mempertahankan kejuaraan.

Sebagai rekod, Ronaldo dan Buffon pernah bertembung empat kali dengan penyerang antarabangsa Portugal itu konsisten menjaringkan satu gol dalam setiap pertemuan.

“Aksi final kali ini lebih kurang sama dengan musim lalu (ketika menentang Atletico Madrid). Siapa yang melakukan kesilapan akan kalah. Walaupun Juventus memang kuat di bahagian pertahanannya, sudah tentu akan ada titik kelemahan di sana sini. Kami kena cari titik itu dan tentukan cara terbaik untuk mengeksploitasikannya,” kata Ronaldo. – REUTERS