Ketua jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria berkata, penaja baharu itu pernah membantu dua kelab Liga FAM, Hanelang dan Terengganu City malah secara lisannya sudah memberikan persetujuan membantu mereka, dua hari lalu.

“Ikut perancangan awal saya, tutup sahaja pasukan ini sebab pengurusan Marcerra sudah tidak bertanggungjawab lagi. Sudah lebih tiga bulan gaji pemain tidak dibayar, segala kebajikan mereka dilupakan dan tidak diambil kisah.

“Jendela perpindahan Liga FAM yang dibuka balik 8 April lalu memberikan masa untuk mereka cari pasukan lain. Mei ini juga jendela Liga Super dan Perdana dibuka,” katanya pada sidang akhbar di sebuah universiti di sini hari ini.

Beliau ditemani pemain senior Kuantan FA, Abdul Ghani Abdul Rahman dan bek tengah import dari Romania, Alexandru Tudose serta Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya.

Kata Ismail, tinggal hanya 16 pemain yang masih setia bersama Kuantan FA menjelang pertemuan dengan Pulau Pinang, Selasa ini sedangkan ramai tonggakmeninggalkan pasukan gara-gara isu tunggakan gaji itu.

Difahamkan sejumlah RM400,000 diperlukan pasukan ini untuk membiayai kos gaji bulanan tidak termasuk perjalanan dan penggunaan kemudahan latihan serta sewa gelanggang perlawanan.

Kata Alexandru, “Kesabaran kami pun ada batasnya. Saya boleh lapor kepada FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) tetapi masih percayakan jurulatih (Ismail) akan berjuang untuk kami.”