Kuala Lumpur terus mengukuhkan kedudukan selaku peneraju Liga Perdana dengan 44 mata selepas menundukkan UiTM 2-1 dalam aksi di Stadium UiTM.

Terengganu, yang berada di kedudukan kedua liga dengan jumlah mata sama dan hanya dibezakan menerusi jumlah jaringan, turut meraih kemenangan 2-1 ke atas MISC-MIFA di Stadium Proton.

Mengekori rapat di kedudukan ketiga dengan 40 mata ialah PKNP yang turut meraih tiga mata penting selepas menewaskan Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Perak.

Sementara itu, aksi di Stadium Likas menyaksikan Sabah berpesta gol menundukkan Perlis 5-1 dengan Lee Kil-hoon meledak hatrik dalam perlawanan itu manakala dua gol lagi disumbangkan Rodoljub Paunovic dan jaringan saguhati pasukan pelawat diraih menerusi Ndumba Mekeche.

PDRM turut mencatat kemenangan dalam aksi di Stadium Hang Jebat selepas menewaskan Kuantan FA 5-3 dengan Dao Bakary meletakkan nama selaku penjaring hatrik dalam perlawanan itu.

Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Darul Ta’zim II sekadar meraih satu mata selepas terikat 1-1 dengan ATM. – UTUSAN ONLINE