Keputusan mengejut itu dike­tahui Maciel selepas mendapat surat rasmi daripada KLFA semalam yang mengatakan khidmatnya direhatkan daripada mengemudi skuad The City Boys untuk mengharungi kempen Piala Malaysia.

“Pada awal musim ini saya sudah tahu kesukaran yang perlu dihadapi. Sebelum musim bermula, semua orang terlibat namun akhirnya jurulatih yang dipertanggungjawabkan. Itu normal dalam bola sepak. Tiada siapa pun tahu kesukaran yang terpaksa saya lalui sewaktu mula mengambil alih pasukan ini.

“Saya tidak mempunyai penolong jurulatih selama sebulan, 40 hari tanpa jurulatih penjaga gol dan dua bulan tanpa jurulatih kecergasan.

“Saya tidak akan mengambil tindakan terhadap KLFA kerana perkara seperti ini adalah lumrah dalam bola sepak kerana jika kelab fikir masa anda sudah sampai mereka akan tamatkan perkhid­matan anda. Saya OK.

“Cuma saya tidak suka dengan perkataan rehat. Bagi saya rehat tidak wujud dalam dunia profesional kejurulatihan. Ini kali pertama saya berdepan dengan masalah seperti ini. Jika tidak suka kelab sepatutnya beritahu bahawa saya dipecat bukannya direhatkan.

“Ini kerana apabila anda sudah direhatkan anda tidak akan kembali bersama pasukan. Saya tahu mengenainya. Tugas saya diambil oleh penolong jurulatih iaitu Chong Yee Fatt. Saya ingin me­ngucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan yang memberi sokongan secara profesional kepada saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jurulatih dari Brazil itu berkata antara sebab utama dia direhatkan adalah kerana prestasi Kuala Lumpur dalam kempen Liga Super apabila menamatkan persa­ingan di atas zon penyingkiran di kedudukan ke-10 dengan tujuh kemenangan tiga seri dan 12 kalah.

Tugas terakhir Maciel bersama Kuala Lumpur adalah ketika menentang Terengganu dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Kuala Lumpur Sabtu lalu yang menyaksikan The City Boys dibelasah 5-1 untuk menghuni tempat tercorot kumpulan.

Maciel turut mendedahkan bahawa dia sudah tidak menerima gaji sejak Julai lalu dan kini me­nunggu jawapan daripada KLFA sama ada mahu melangsaikannya secara ansuran atau sebaliknya memandangkan khidmatnya sudah direhatkan.

“Saya tidak menerima gaji sejak Julai dan kontrak saya tamat pada November ini, itu bermakna saya ada lima bulan tunggakan gaji. Saya tidak tahu sama ada KLFA mahu melunaskannya sekali gus atau sebaliknya jadi saya perlu menunggu jawapan daripada mereka,” katanya lagi.

Sebagai rekod, Maciel membantu Kuala Lumpur muncul juara Liga Perdana pada musim lalu.