Juara dunia itu turun beraksi dengan tekanan kerana mereka terdesak mencari tiga mata berharga selepas skuad kendalian Joachim Low itu dikejutkan dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Mexico pada 17 Jun lalu.

Jerman yang menguasai sebahagian besar permainan terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan Ola Toivonen yang menerima hantaran daripada Viktor Claesson pada minit ke-32.

Bagaimanapun, tiga minit bersambung babak kedua, Marco Reus berjaya menyamakan kedudukan hasil hantaran daripada Mario Gomez.

Usaha Jerman untuk memburu tiga mata kelihatan sukar berikutan mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pertahanan Bayern Munich, Jerome Boateng menerima kad kuning kedua pada minit ke-82.

Ketika permainan seakan-akan berkesudahan seri, Kroos memastikan tiga mata berharga menjadi milik mereka apabila menjaringkan gol kemenangan berpunca daripada sepakan bola mati Marco Reus setelah Timo Werner dikasari oleh pemain Sweden, Jimmy Durmaz pada waktu kecederaan.

Kemenangan itu membolehkan skuad Die Mannschaft menduduki tangga kedua berkongsi tiga mata dengan Sweden. Mexico di kedudukan teratas dengan enam mata manakala Korea Selatan di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Jerman perlu menang ke atas Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan pada 27 Jun ini namun peluang mereka ke peringkat kalah mati tetap bergantung kepada keputusan perlawanan Mexico menentang Sweden yang turut berlangsung pada hari yang sama. - AGENSI