Sterling, 23, yang diturunkan dalam kesebelasan utama England ketika menewaskan Tunisia 2-1 pada aksi pertama Piala Dunia, Isnin lalu menerima liputan negatif media kerana tabiatnya yang suka berbelanja ‘mewah’, termasuk membeli rumah buat ibunya pada 2016.

Bekas pemain sayap Liverpool itu baru-baru ini dikritik kerana mencacah tatu pistol di betis kirinya. Tatu tersebut adalah simbol kematian bapanya pada usia muda tetapi disalah tafsir oleh media hingga mencetus kontroversi.

“Anda tahu, ia sangat menyedihkan kerana saya terpaksa bercakap tentang perkara ini, namun saya tetap kena beritahu juga.

“Terdapat persepsi tertentu oleh media yang mengatakan saya suka ‘berbelanja mewah’. Saya suka berlian, saya suka menunjuk-junjuk. Saya tidak faham, dari mana semua cerita itu datang.

“Apa yang paling saya tidak faham adalah ketika membelikan rumah untuk ibu saya, cara mereka menulis sukar dipercayai. Saya rasa, ia sangat menyedihkan apabila ada orang sanggup melakukan perkara seperti itu. Mereka membenci apa yang mereka tidak tahu,” katanya ketika menulis dalam kolum The Players’ Tribune di portal sukan www.theplayerstribune.com.

Dalam artikel panjang lebar itu, Sterling turut menceritakan tentang kesukarannya ketika membesar, termasuk membantu ibunya membersihkan bilik mandi hotel pada usia enam tahun, selain pengorbanan yang dilakukan keluarganya demi menyokong impiannya.

“Jika anda membesar dengan cara yang sama saya membesar, jangan dengar apa yang tabloid tertentu beritahu anda.

“Mereka hanya mahu mencuri kegembiraan anda. Mereka hanya mahu menarik anda ke bawah. Saya beritahu anda sekarang, England masih menjadi tempat buat seorang kanak-kanak nakal yang tidak punya apa-apa untuk memenuhi impiannya,” katanya lagi. - REUTERS