Anderson berkata pasukannya sudah tiga kali menjalani persiapan untuk menentang Malaysia tetapi perlawanan ditunda kerana masalah keselamatan, dan ini menyebabkan skuadnya begitu teruja untuk beraksi.

Bagaimanapun, jurulatih dari Norway itu menganggap penundaan perlawanan dengan Ma­laysia turut memberi kebaikan kepada pasukannya kerana skuad bimbingan Nelo Vingada terpaksa bermain tanpa beberapa tonggak termasuk Aidil Zafuan Abd Radzak dan kapten Safiq Rahim yang digantung perlawanan.

“Sudah pasti saya tahu banyak perkara mengenai pasukan Malaysia selepas tiga kali melakukan persiapan untuk berdepan mereka. Ini termasuk melihat corak permainan mereka menerusi video.

“Penundaan perla­wanan s­ebelum ini juga dilihat memberi kami kelebihan dengan beberapa pemain mereka me­nerima kad merah ketika berdepan Hong Kong.

“Memang kami tewas 5-0 kepada Lebanon dalam perlawanan terakhir sebelum ini, tetapi saya fikir kami lebih bersedia untuk perlawanan kali ini,” katanya dalam sidang akhbar menje­lang perlawanan di Stadium I-Mobile hari ini.

Aidil menerima kad merah dalam perlawanan pertama berdepan Hong Kong pada 5 Oktober lalu dan digantung empat perlawanan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas didapati bersalah kerana menolak pengadil.

Safiq pula tidak dapat diturun­kan untuk aksi malam esok kerana dilayangkan kad merah dalam perlawanan kedua berdepan Hong Kong 10 Oktober lalu, namun dia boleh beraksi semula dalam perlawanan kedua berdepan Korea Utara Isnin depan. – UTUSAN