Korea Utara berada di depan seawal minit ke-12 menerusi jaringan penalti Pak Kwang Ryong selepas bola terkena tangan kapten Harimau Malaya, Mohamad Fadhli Shas sebelum Kim Yu Song menggandakan kedudukan pada minit ke-42.

Bersambung babak kedua, gawang Malaysia sekali lagi dibolosi menerusi rembatan bola mati Kim Yong II pada minit ke-48 dan 10 minit kemudian giliran Jong II Gwan menjaringkan gol.

Gol saguhati Malaysia diperoleh menerusi jaringan penyerang muda, Safawi Rasid pada minit ke-67.

Meskipun berbaki dua perlawanan namun peluang Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2019 semakin tipis apabila mereka bakal menentang Korea Utara pada 13 November ini di venue yang sama sebelum menentang Lebanon di Beirut. - UTUSAN ONLINE