Selepas Malaysia memahat sejarah muncul wakil Asia Tenggara pertama mara ke suku akhir dengan mengalahkan Arab Saudi 1-0 semalam, Vietnam mengiringi kemaraan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee apabila turut mengesahkan tiket ke peringkat lapan terbaik setelah mengikat Syria 0-0 untuk muncul naib juara Kumpulan D.

Selaku naib juara kumpulan, Vietnam akan berdepan juara Kumpulan C, Iraq yang sebelum ini membenam Malaysia 4-1 dalam perlawanan pembukaan mereka.

Di atas kertas, Korea Selatan adalah pilihan utama untuk memenangi pertarungan di Stadium Kunshan, Sabtu ini, apatah lagi mereka turun dengan reputasi selaku naib juara 2016 selepas kalah tipis 2-3 kepada Jepun.

Begitupun, kejayaan Malaysia mengejutkan naib juara 2013, Arab Saudi pada peringkat kumpulan membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dilakukan jika pasukan negara mampu menunjukkan prestasi terbaik.

Skuad muda negara juga sebelum itu mengikat Jordan, pasukan yang menduduki tangga ketiga pada kejohanan 2013 menerusi keputusan 1-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan C. - UTUSAN ONLINE

SUKU AKHIR

JUMAAT

Jepun lwn Uzbekistan

(Stadium Jiangyin, 4 petang)

Qatar lwn Palestin

(Pusat Sukan Olimpik Changzhou, 7.30 malam)

SABTU

Korea Selatan lwn MALAYSIA

(Stadium Kunshan, 4 petang)

Iraq lwn Vietnam

(Stadium Changshu, 7.30 malam)