Pertahanan 33 tahun Belgium itu menyertai kelab berkenaan pada musim panas 2008 dan membuat 360 penampilan, memenangi empat gelaran Liga Perdana Inggeris, dua Piala FA, empat Piala Liga dan dua Perisai Komuniti.

Dia menamatkan kariernya dengan memenangi Piala FA semalam apabila membantu skuad Citizens membelasah Watford 6-0 bagi melengkapkan treble domestik.

“Sudah tiba masanya untuk saya pergi. Sebuah musim yang cukup menarik sebagai penutup. Tiada apa yang saya rasakan selain ingin mengucapkan terima kasih.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang menyokong saya dalam perjalanan indah bersama kelab istimewa ini.

“Saya memilih untuk berterima kasih pada masa lalu tetapi tetap bercita-cita tinggi untuk masa depan. Selepas ini saya akan memainkan peranan sebagai pengurus juga pemain Anderlecht,” ujar Kompany yang menyertai City dari Hamburg.- AFP