Kogileswaran berkata, beraksi di depan ribuan penyokong lawan bukan tugas yang mudah, bagaimanapun, berdasarkan pengalaman yang ada mereka mampu memberi cabaran kepada Kemboja dalam aksi pertama Kumpulan B di Stadium Nasional, Phnom Penh, esok.

“Saya tidak menafikan bahawa penonton memainkan peranan besar dalam sesebuah perlawanan bagaimanapun saya fikir kami semua pernah bermain di depan ribuan penyokong lawan dengan baik.

“Walaupun berdepan de­ngan ribuan penyokong tuan rumah namun saya fikir kami yang bermain di atas padang, bukannya mereka,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, pemain berusia 21 tahun itu menga­kui tiga mata pertama esok amat berharga untuk pasukan dalam menentukan hala tuju mereka dan meskipun beraksi di atas padang rumput tiruan, Kogileswaran enggan menjadikannya sebagai alasan.

“Kami perlu segera menyesuaikan diri dengan keadaan padang rumput tiruan sebab bukan mudah kerana pergerakan bola akan menjadi lebih laju. Berbeza jika kami bermain di atas padang rumput biasa. Saya berharap kami dapat mencipta kemenangan dalam aksi pertama nanti,” katanya.

Selepas Kemboja, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu akan menentang Indonesia, Rabu ini, disusuli Myanmar (Jumaat). Semua perlawanan diadakan di venue yang sama.

Kata penyerang Pahang itu, dia percaya gabungan pemain baharu dan lama sudah membentuk persefahaman dengan baik dan itu memudahkan tugas mereka untuk beraksi sebagai satu pasukan di atas padang.