Coutinho meninggalkan Liverpool, Januari lalu, untuk menyertai Barcelona selepas diburu kelab gergasi Sepanyol itu selama beberapa bulan.

Liverpool mara sehingga ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara tanpa Coutinho, tetapi ramai yang berpendapat skuad bimbingan Klopp itu masih berasakan kehilangan bakat kreativiti yang dimiliki bintang antarabangsa Brazil itu.

Dalam usaha mengatasi masalah tersebut, Liverpool dan Klopp memanfaatkan penyingkiran Stoke dari Liga Perdana dan menandatangani Shaqiri dengan harga yang rendah iaitu 13.5 juta pound (RM70 juta) pada musim panas lalu.

Pemain Switzerland bertubuh kecil itu berjaya menghadirkan impak kepada Liverpool dengan enam gol dan dua bantuan setakat ini. Shaqiri disenaraikan dalam kesebelasan utama sewaktu membelasah Arsenal 5-1 di Anfield, tetapi dia mungkin berada di bangku simpanan untuk pertembungan dengan Manchester City, awal pagi esok (waktu Malaysia).

Bercakap dalam satu temubual dengan penyampai Sky Sports, Gary Neville menjelang perlawanan tersebut, bos Liverpool itu secara terbuka mengakui dia mahukan Shaqiri bermain seperti Coutinho.

“Kami sebenarnya sudah mendapatkan posisi yang sesuai untuknya (Shaqiri). Ia sesuatu yang agak bagus, kami telah mencuba 4-3-3, tetapi dia masih belum menyesuaikan dirinya dengan posisi pemain tengah yang menguasai separuh padang.

“Anda tidak boleh memaksa pemain untuk beraksi di posisi tersebut, anda kalau boleh perlu menyerlahkan kekuatannya, dan bukannya memintanya bermain di posisi yang dia tidak bagus.

“Kualiti yang dimiliki Xherdan cukup jelas di bahagian menyerang, mencipta peluang, melepaskan rembatan, memiliki tindakan penyudah yang baik dan mampu beraksi antara serangan serta bertahan.

“Hari demi hari dia semakin mempamerkan peningkatan dan mungkin satu hari kelak, dia boleh bermain seperti Phil,” kata Klopp kepada Neville.

Liverpool berpeluang menjarakkan kedudukan kepada 10 mata di depan City, jika mereka mencatat kemenangan, esok, tetapi Klopp yakin dia akan menikmati keseronokan dalam memburu gelaran.

“Sekarang, kami berada pada situasi yang bagus, memang benar, tetapi kami perlu bertandang ke Manchester City dan bermain dalam satu lagi perlawanan besar selain Arsenal. Inilah bola sepak.

“Saya tidak perlu tahu apa yang bakal berlaku pada Mei nanti. Siapa yang akan terus bertahan antara waktu sekarang dan bulan Mei? Pergi bercuti, putuskan segala hubungan, kemudian kembali semula pada bulan Mei dan selepas itu, kita lihat apa yang berlaku.

“Saya tidak mahu apa-apa perubahan, saya cuma hendak menikmati keseronokan bersaing sehinggalah tiba bulan Mei! Bagi kami, sasaran ialah melayakkan diri ke Liga Juara-Juara dan semua itu kita tidak akan tahu apa kesudahannya kerana orang lain juga boleh melakar 17 kemenangan berturut-turut.

“Kami hanya perlu fokus kepada diri sendiri dan itu juga yang kami lakukan sehingga kini. Suasana di dalam kelab bertambah baik. Kami akan lihat ke mana hala tuju kami selepas itu,” jelas warga Jerman itu. - AGENSI