Salah menjaringkan dua gol pertama di Anfield, dua lagi dijaringkan oleh Roberto Firmino manakala Sadio Mane menambah satu untuk Liverpool.

Dua gol memukau yang dijaringkan Salah hari ini menjadikan jumlah jaringannya dalam semua pertandingan musim ini kepada 43 gol, 10 daripadanya dalam Liga Juara-Juara. Pencapaian tersebut merupakan rekod buat pemain Liverpool dalam kempen yang sama di peringkat Eropah.

Klopp jelas kagum dengan tindakan penyudah bintang Mesir itu, yang menyaksikan Salah menjaringkan gol cantik hasil rembatan lengkung menerjah ke sudut atas pintu gol Roma dan jaringan keduanya pula dihasilkan setelah menyungkit bola melepasi kawalan penjaga gol handalan Alisson.

“Gol pertama merupakan satu rembatan yang genius, dia telahpun menjaringkan gol seperti itu beberapa kali, jadi cukup jelas gol tersebut bukanlah dihasilkan secara kebetulan.

“Jaringan kedua pula hasil gerakan Bobby (Firmino) yang bijak membaca permainan dan dia (Salah) menjadikan gerakan itu sebagai satu tindakan penyudah. Selepas itu, Salah membantu dua gol lagi yang disempurnakan rakan sepasukan,” jelas Klopp, merujuk kepada Salah yang menjadi perancang jaringan Mane dan Firmino selepas rehat.

Bekas pengurus Dortmund itu, yang tidak menyesal membawa keluar Salah pada minit ke-75 ketika Liverpool mendahului 5-0, berkata dia mahu melindungi Pemain Terbaik Tahunan itu daripada ditimpa kecederaan.

“Jika sesiapapun yang mahu menyatakan kesilapan saya menyebabkan kami dibolosi dua gol kerana saya menukar penyerang, saya tidak ada masalah untuk menerimanya. Dia sentiasa berlari (mengejar bola), dan sama sekali tidak akan membantu kami jika dia tercedera,” tegas Klopp.

Klopp bagaimanapun enggan mengulas tentang dua gol yang membolosi gawang skuadnya pada penghujung permainan, sebaliknya berkata, pasukannya telah mempamerkan persembahan sempurna untuk tempoh 80 minit.

“Sudah tentu, kami akan lebih gembira dengan kemenangan 5-0 atau 5-1, tetapi keputusan 5-2 juga merupakan pencapaian yang hebat. Kami akan ke sana (Rom) dan mencuba lagi.

“Anak-anak buah saya telah mempamerkan persembahan mengagumkan untuk tempoh yang panjang, walaupun kami dibolosi pada minit-minit terakhir. Kami melakukan satu kesilapan dan pengadil pula membuat satu kesalahan (memberikan penalti) dan menjadikan dua gol untuk mereka,” kata jurulatih kelahiran Jerman itu. – REUTERS