Skuad bimbingannya itu telah membuktikan mereka mampu mengendalikan tekanan dalam situasi sedemikian sejak dibentuk beberapa tahun lalu, walaupun, hanya mampu seri 1-1 dengan Leicester, Rabu lalu.

“Ya, memang ada tekanan, tahun lalu juga begitu, terlalu banyak tekanan terutama ketika berdepan Manchester City pada suku akhir Liga Juara Juara Eropah di laman lawan.

“Tetapi kami masih boleh mengatasinya. Begitu juga pada separuh akhir di Rome, kemudian ditambah tekanan dalam liga domestik. Kami perlu menang setiap perlawanan ketika itu.

“Memang gementar, tetapi kami tidak perbesarkan situasi tersebut tahun lalu, dua tahun lalu mahupun tiga tahun lalu. Ini adalah sebahagian daripada bola sepak,” katanya.

Liverpool mampu menamatkan kemarau 29 tahun sekiranya berjaya mengatasi tekanan tersebut, malah, Klopp sendiri merasai betapa tegang perasaan penyokong kelab itu sejak kebelakangan ini.

“Penyokong kami memang terdesak untuk merealisasikan harapan itu. Mereka tidak boleh duduk diam sekarang dan saya faham. Kami akan mencuba dengan apa yang kami ada. Tetapi tiada sebarang jaminan boleh diberikan ketika ini. Saya pula bukan seorang yang mudah gementar,” tegasnya. - REUTERS