Reds menguasai 45 minit babak pertama di Stadium King Power tetapi gagal menembusi gawang Leicester, sebelum membenarkan tuan rumah menemui keyakinan dan meledak dua gol pada babak kedua dalam pusingan ketiga Piala Liga, hari ini.

Pemain gantian, Shinji Okazaki meletakkan Foxes di depan pada minit ke-65, sebelum Islam Sli­mani melengkapkan kemena­ngan 2-0 pada minit ke-78.

Ketika diminta menjelaskan bagaimana Liverpool boleh hilang kawalan dalam perlawanan itu selepas menguasai­nya pada babak pertama, Klopp memberitahu Sky Sports: “Ia sebenarnya mudah untuk dijelaskan, kami bermain baik dalam babak pertama dan mensia-siakan banyak peluang terbaik.

“Itulah bola sepak, anda kena mengawal permainan sepanjang 90 minit permainan. Gol-gol yang kami lepaskan adalah susulan daripada bola sepakan penjuru serta hantaran ke dalam.

“Sejujurnya, saya sudah muak (melepaskan) gol seperti ini. Anda tidak boleh bermain bola sepak dan melakukan perkara seperti itu.

“Leicester City terselamat (daripada kekalahan), manakala kami pula tidak memiliki penyudah klinikal. Mereka (Leicester) menjaringkan gol de­ngan terlalu mudah.

“Untuk gol pertama, kami tidak memberi tekanan kepada lawan...saya sudah katakan perkara ini lebih 1,000 kali”.

Liverpool yang akan menentang Leicester sekali lagi pada saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu ini meletakkan Philippe Coutinho dalam kesebelasan utama dan perancang utama Brazil itu memberi banyak masalah kepada pertahanan tuan rumah.

Biarpun memberi tekanan berterusan kepada Leicester dan bermain mengikut perancangan dalam sebahagian besar permai­nan, namun ketiadaan penyudah menyebabkan Liverpool terpaksa menelan hakikat tersingkir awal pada saingan Piala Liga.

Kekalahan ini juga menyaksikan Reds kini mengharungi empat perlawanan terakhir tanpa kemenangan, malah anak-anak buah Klopp sekali lagi buntu untuk mencari jaringan biarpun melakukan 21 percubaan ke gawang lawan. – AGENSI