Kelab Liga Perdana Inggeris itu, yang beraksi buat kali kedua dalam Liga Juara-juara selepas lapan tahun, dilihat mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan tersebut namun kelemahan jentera pertahanan dan kegagalan Roberto Firmino memanfaatkan sepakan penalti menyebabkan mereka diikat oleh Sevilla.

Paling menyedihkan penyokong mereka apabila dua gol pasukan pelawat diperoleh akibat kesilapan dilakukan bahagian pertahanan Liverpool.

Klopp, yang menyaksikan pasukannya tewas 5-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris kepada Manchester City pada Sabtu lalu, berkata dia gembira dengan permainan pasukannya tetapi tidak untuk dua gol yang diperoleh pasukan pelawat.

“Kami menamatkan persaingan dengan keputusan seri dan saya masih puas hati dengan persembahan pasukan, tetapi tidak terhadap dua gol lawan,” kata Klopp.

Dalam pada itu, Klopp turut menafikan dakwaan dia mempengaruhi pengadil perlawanan untuk mengarahkan jurulatih Sevilla, Eduardo Berizzo agar tidak berada di padang.

“Saya tiada masalah dengan jurulatih tersebut dan saya tidak fikir keputusan pengadil itu berpunca daripada saya.

“Mereka yang berada di bangku pemain pastinya fikir saya bertanggungjawab dengan apa yang berlaku,” kata Klopp.

Sevilla mendahului jaringan menerusi Wissam Ben Yedder pada minit kelima sebelum Liverpool menjaringkan dua gol menerusi Firmino pada minit ke-21 dan Mohamed Salah 16 minit kemudian.

Bagaimanapun, penguasaan Liverpool di laman sendiri tidak lama apabila pasukan pelawat menyamakan kedudukan menerusi Joaquin Correa pada minit ke-72.

Satu kad merah turut dilayangkan oleh pengadil perlawanan kepada pemain Liverpool, Joe Gomez pada masa kecederaan. – REUTERS