Ribuan penyokong berbaris panjang walaupun kaunter-kaunter tiket hanya mula dibuka pada 11 pagi bagi memastikan tidak terlepas peluang menyaksikan perlawanan bagi ibu segala pingat Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu.

Mengikut kenyataan Sekretariat Kuala Lumpur 2017 tiket tidak dijual secara dalam talian di laman web 2017. Tiket untuk penyokong tuan rumah dijual di Stadium Shah Alam manakala tiket untuk penyokong Thailand dijual di Stadium Melawati.

Tinjauan Bernama di sini mendapati ada penyokong yang sanggup membawa beg tidur malah tikar untuk tidur di perkarangan stadium berkenaan malam tadi.

Sebelum ini, venue bagi perlawanan akhir bola sepak lelaki itu dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sekiranya ia melibatkan pasukan negara beraksi di pentas akhir.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan mengumumkan Stadium Shah Alam dipilih sebagai venue bagi perlawanan akhir bola sepak lelaki itu.

Malaysia mengesahkan tempat di final selepas menundukkan Indonesia 1-0 pada aksi separuh akhir pada Sabtu malam manakala Thailand turut mara setelah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Myanmar dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Dalam pada itu, perlawanan penentuan pingat gangsa antara Indonesia menentang Myanmar akan diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 4.30 petang pada hari yang sama. - BERNAMA