Kesemua 26 pemain yang dipanggilnya melapor diri untuk kem latihan pusat akhir ke Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 hari ini, namun sebahagian daripada mereka telah mengharungi begitu banyak perlawanan dalam tempoh pendek yang menyebabkan mereka keletihan.

Ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Kim Swee berkata, beberapa pemain telah mengharungi 12 atau 13 perlawanan dalam tempoh 40 hari dan jelas tidak berfungsi dengan baik dalam perlawanan terbaharu sebelum liga dihentikan seketika untuk memberi laluan kepada Sukan SEA.

“Kecergasan mereka menjadi aspek terpenting yang perlu saya tengok dalam tiga empat hari latihan pusat ini. Juga penting untuk beri mereka rehat yang mencukupi sebelum perlawanan sebenar (bola sepak Sukan SEA bermula 14 Ogos ini).

“Seperti kata ramai jurulatih pasukan liga, beberapa pemain tidak berfungsi baik kerana keletihan dan bermain begitu banyak perlawanan (Liga Super, Perdana dan Piala Malaysia),” katanya selepas majlis makan tengah hari skuadnya, skuad wanita dan futsal dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Kim Swee berpe­ngalaman luas melatih tiga skuad Sukan SEA sebelum ini yang mana mereka muncul juara 2011 namun tanpa pingat pada 2013 dan 2015.

Beliau berkata, masalah dihadapinya kali ini tidak berlaku dalam Sukan SEA lalu dan sudah pastinya prestasi pasukan sedikit tergugat.

“Jadi saya perlu nilai sejauh mana keletihan mereka itu. Namun (latihan pusat) kali ini saya mendapat lebih banyak pilihan pemain termasuk enam yang kembali (selepas tidak bersama ketika Kelayakan Bawah 23 AFC, bulan lalu).

“Ada pemain tertentu yang mampu bermain lebih daripada satu posisi, jadi ada alternatif untuk memperbaiki semua posisi,” katanya.

Kim Swee mengakui sebagai tuan rumah, skuadnya tetap mahu memburu pingat emas sekalipun Tunku Ismail bersikap realistik dengan kemampuan pasukan gara-gara persediaan terhad.

“Tunku Presiden tahu kedudukan pasukan kita sekarang dan tahap persediaannya. Walaupun bukan satu KPI (indeks prestasi utama) mesti dapat emas, apabila kita menyertai setiap kejohanan apatah lagi sebagai tuan rumah, setiap jurulatih dan pemain pasti inginkan pingat itu.

“Saya harap kita dapat merea­lisasikannya dengan persiapan sebaik mungkin. Yang penting kita tumpukan persediaan untuk peringkat Kumpulan (A dengan Myanmar, Singa­pura, Laos dan Brunei) sebelum memikirkan untuk dapat emas,” katanya.