Kelekaan Harimau Malaysia dalam 10 minit terakhir permainan mengundang padah apabila Nguyen Trong Hoang menjaringkan gol kemenangan Vietnam dalam perlawanan kedua Kumpulan B di Stadium Thuwunna.

Mengulas mengenai perlawanan itu Kim Swee turut mengakui berasa kecewa dengan keputusan yang dicatatkan kerana anak-anak buahnya membiarkan Vietnam memperoleh tiga mata pada saat-saat akhir permainan tetapi memuji mereka kerana terus berusaha untuk mencari gol penyamaan.

“Sudah pasti kami kecewa. Kami bermain mengikut perancangan tapi saya percaya kami tewas secara bermaruah kerana pemain sentiasa mencuba dan berusaha hingga ke saat akhir permainan.

“Bagaimanapun kelekaan pemain di saat akhir membawa padah, pemain tidak mengluarkan bola dengan kemas dan sebab itu lawan berjaya menjaringkan gol.

“Peluang kini terletak di tangan kami. Kami perlu mencatat kemenangan dalam pertemuan terakhir menentang Myanmar pada Sabtu ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Tambah Kim Swee, bermain dua perlawanan pada pukul 3 petang menjadi punca utama pemainnya keletihan namun dia tetap memuji anak-anak buahnya kerana masih mampu memberi tentangan kepada lawan hingga ke minit terakhir permainan.

“Vietnam pasukan yang bagus dan mereka seimbang di setiap bahagian. Kami bermain mengikut perancangan dan mampu menguruskan lawan dengan baik pada mulanya. Bagaimanapun saya lihat pemain kepenatan kerana kami beraksi dua perlawanan pada pukul 3 petang,” katanya.

Kim Swee berkata dia tidak berasa tertekan menjelang perlawanan terakhir di peringkat kumpulan itu meskipun Harimau Malaysia wajib menang sebaliknya berkata Myanmar yang seharusnya berasa begitu kerana mereka adalah tuan rumah.

“Kami mahu layak ke peringkat seterusnya dan kami perlu berada dalam keadaan terbaik sebelum bertemu Myanmar. Kami tidak tertekan kerana saya fikir Myanmar lebih tertekan,” katanya.

Sementara itu, penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat mengakui kelekaan menjadi punca gawangnya dibolosi namun menggesa rakan sepasukannya untuk bangkit daripada kekalahan tersebut.

“Memang tidak dapat dinafikan kami hilang fokus pada waktu itu tambahan pula bola tidak dikeluarkan dengan baik. Kami perlu bangkit dalam perlawanan terakhir dengan mensasarkan kemenangan,” katanya.

Harimau Malaysia dilihat beraksi secara berhati-hati malah mereka terpaksa menunggu pada saat akhir babak pertama untuk mula melakukan percubaan ke arah gawang menerusi rembatan Ahmad Hazwan Bakri dan ketua pasukan Mohd. Amri Yahyah.

Apabila perlawanan bersambung, kedua-dua pasukan saling melakukan asakan tetapi 15 minit terakhir permainan lebih banyak dikuasai Vietnam yang kerap melakukan asakan.

Kekalahan tersebut meletakkan Harimau Malaysia dalam keadaan terdesak untuk mencari kemenangan ke atas Myanmar pada Sabtu ini. Jika gagal bermakna untuk pertama kalinya skuad negara gagal melepasi peringkat kumpulan sejak 2008.

Sementara itu Myanmar menumpaskan Kemboja 3-1 dalam satu lagi perlawanan untuk melonjak ke tempat kedua berbekalkan kelebihan jaringan ke atas Malaysia selepas masing-masing mengumpul tiga mata.

Kemboja sempat mencipta kejutan apabila membuka tirai jaringan menerusi Sos Souhana pada minit ke-14 hanya untuk menyaksikan tuan rumah membalas dengan dua gol sebelum rehat menerusi Zaw Min Tun dan Aung Thu pada babak kedua. – UTUSAN