Malaysia akan menentang Iraq untuk perlawanan pertamanya dalam sejarah Kejohanan Bawah 23 AFC esok, dan pasukan lawan telah memulakan serangan psikologi ke atas skuad negara apabila pemainnta merenung secara berdepan ketika bertemu pemain negara di dalam lif hotel tempat mereka menginap baru-baru ini.

Dalam sidang akhbar praperlawanan hari ini, Kim Swee seolah-olah membalas provokasi itu apabila bersalaman tanpa melihat wajah Abdul Ghani.

Iraq merupakan pasukan pilihan untuk perlawanan di Stadium Changshu esok, malah antara pasukan yang disebut-sebut sebagai mampu memenangi kejohanan kali ini, namun terdapat berita baik buat kem negara apabila dua tonggak pasukan dari Teluk itu iaitu Aymen Hussein dan Ahmad Mohsin Jaber tidak dapat diturunkan kerana masih dalam tempoh digantung perlawanan.

Ayman merupakan penjaring terbanyak dalam pusingan kelayakan pada Julai lalu dengan enam gol tidak dapat beraksi dua perlawanan pertama peringkat kumpulan kerana mengutip kad merah manakala Ahmad Mohsin digantung satu permainan setelah mengumpul dua kad kuning.

Namun, Kim Swee menganggap kekuatan Iraq tidak akan berkurangan tanpa dua pemain penting mereka.

“Bagi saya tidak ada beza pun sebab tanpa dua pemain utama ini mereka tetap ada pemain lain yang boleh memberi saingan kepada Malaysia.

“Iraq ada sejarah yang baik dalam kejohanan ini dan begitu juga di peringkat skuad senior mereka. Namun, kami ke sini bukan mahu mengambil bahagian semata-mata tetapi penting untuk pemain keluar daripada perlawanan dengan membawa kejayaan.

“Saya berharap pemain mengambil kesempatan untuk menimba pengalaman daripada kejohanan ini agar mereka dapat mempelajari sesuatu untuk masa depan. Saya percaya de­ngan taktikal yang tepat kita boleh mendapatkan keputusan positif,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Changshu hari ini.

Dalam pada itu, Kim Swee berkata meskipun pasukannya mencatat keputusan positif ketika beraksi dalam Sukan SEA 2017 pada Ogos lalu namun bekas pengendali skuad kebangsaan itu berkata kejohanan kali ini adalah berbeza tetapi tidak menolak anak buahnya mampu melakukan kejutan.

“Sukan SEA 2017 adalah pertandingan yang berbeza de­ngan Kejohanan B-23 AFC sebab cabaran lebih besar. Dalam kejohanan ini tiga lawan kami dari Asia Tengah iaitu Iraq, Arab Saudi dan Jordan, bagaimanapun jika kami bekerja keras tidak mustahil kejutan dapat dicipta,” katanya.

Iraq merupakan juara edisi 2013 manakala Arab Saudi naib juara manakala Jordan di tempat ketiga. Malaysia pula kali pertama melayakkan diri. – UTUSAN