Dalam perlawanan akhir yang penuh dramatik, Kickerz FA berjaya mengalahkan Turf City Football Club (FC) dari Singapura dengan jaringan gol 3-1.

Presiden Kickerz FA, Aszahari Mohamad Jameri berkata, pasukannya yang membawa nama negara agak tertekan pada peringkat awal selepas pihak lawan menjaringkan gol pertamanya.

“Walau bagaimanapun, atas semangat membara, Kickerz FA berjaya menyamakan kedudukan sebelum separuh masa pertama tamat.

“Pada separuh masa kedua, Kickerz FA menjaringkan dua lagi gol seterusnya mengesahkan kejuaraan bagi kategori bawah 12 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas perlawanan tersebut, kelmarin.

Lebih membanggakan, dua pemain Kickerz FA dinobatkan sebagai penjaring terbanyak iaitu Muhammad Fahmy Haziq Joharie dan Muhammad Dainie Mat Disa.

Masing-masing menjaringkan empat gol sepanjang kejohanan selama 3 hari itu.

Kickerz FA juga berjaya menduduki tempat kedua plate kategori bawah 14 tahun selepas tewas kepada Titian FC pada perlawanan akhir.

Kejohanan Piala Jemputan Kuala Lumpur 2018 menampilkan pasukan-pasukan dari Malaysia, Singapura dan Indonesia meliputi kategori bawah 12, bawah 14 dan bawah 16 tahun. - UTUSAN ONLINE