Memilih aktres popular Korea, Han Hye-jin sebagai surihatinya pada Julai 2013, Sung-yueng sering dilihat sebagai lelaki yang begitu mencintai isterinya dan menggilai wanita jelita itu sejak usia remajanya.

Sung-yueng yang beraksi bersama Newcastle pada musim baharu Liga Perdana Inggeris setelah menyertai skuad bimbingan Rafa Benitez menerusi perpindahan percuma dari Swansea, memiliki jurang usia yang agak jauh dengan Hye-jin iaitu lapan tahun lebih muda daripada isterinya itu.

Walau bagaimanapun, pemain tengah itu tanpa segan silu menyatakan dalam sebuah rancangan televisyen di tanah air­nya, Healing Camp bahawa pelakon tersebut merupakan wanita idamannya.

Meskipun usia antara mereka berdua agak jauh, Sung-yueng yang kini berusia 29 tahun, manakala Hye-jin berumur 37 tahun, pemain itu pernah memberi jaminan cintanya terhadap wanita tersebut yang tiada tolok bandingnya.

“Saya mahu bersama awak bukan kerana saya kesunyian, tetapi disebabkan saya mencintai awak,” akui Sung-yueng yang hanya menjalin hubungan cinta dengan Hye-jin selama tiga bulan sebelum mengambil keputusan melamarnya.

Menurut cerita yang dikongsi sendiri oleh Hye-jin dalam satu temu bual, Sung-yueng pernah berkata: “Saya sangat cintakan awak walaupun awak sudah tua, jadi jangan terlalu bimbang tentang masa yang berlalu.”

Pernyataan cinta pemain itu dibuat selepas Hye-jin bertanya kepada Sung-yueng sama ada dirinya akan ditinggalkan jika dia sudah tua. Komen Sung-yueng terhadap isterinya menerusi laman sosial Instagram pernah menjadi tular apabila dia mening­galkan pesanan “Awak kelihatan sangat cantik.”

Sewaktu Hye-jin ditemu bual oleh sebuah majalah, pemain tengah yang pernah beraksi de­ngan Celtic itu secara bergurau berkata: “Sayang, boleh kita bertukar wajah.” Dia berkata demikian semata-mata mahu memuji penampilan anggun isterinya itu.

Di mata peminat, kapten skuad kebangsaan mereka itu digelar sebagai “Sa-rang-kkun (lelaki yang melimpah ruah dengan cinta).”

Pasangan yang sama padan itu kini memiliki seorang anak pe­rempuan yang telahpun berusia tiga tahun dan sewaktu isterinya baharu hamil, pemain tersebut pernah meraikan jaringannya dengan menghisap ibu jarinya sewaktu menentang Manchester United dalam aksi Liga Perdana pada 2015.

Memiliki wajah tampan, Sung-yueng turut menjadi kegilaan peminat di tanah airnya tetapi pemain itu pernah me­ngakui sejak mendirikan rumah tangga dia tidak lagi menerima surat daripada peminat setianya. “Sebelum berkahwin saya terima begitu banyak surat tetapi selepas beristeri, semua itu tiada lagi,” katanya sambil ketawa.