Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata Presidennya Datuk Hamidin Mohd. Amin membuat keputusan itu berdasarkan berdasarkan prestasi skuad negara yang tidak melepasi persaingan peringkat kumpulan dalam kejohanan itu selepas kalah 2-0 kepada Jepun hari ini.

“Datuk Hamidin telah me­ngarahkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal memanggil Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia FAM bermesyuarat bersama Pe­ngarah Teknikal FAM, Peter de Roo secepat mungkin untuk membentuk panel pemilihan bagi mencari pengendali baharu skuad B-16 kebangsaan dan cadangan mereka itu akan dibawa ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diputuskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Skuad B-16 negara dibarisi pemain yang kebanyakannya daripada generasi pertama dalam Program Pembangunan Bola Sepak Malaysia (NFDP) yang diketuai oleh Teong Kim sejak empat tahun lalu.

Skuad negara memulakan kempen Kejohanan AFC B-16 dengan menewaskan Tajikistan 6-2 tetapi tewas 2-4 kepada Thailand sebelum tumpas kepada Jepun dalam perlawanan terakhir Kumpulan A hari ini.

Kekalahan itu meleburkan harapan skuad negara untuk memperbaiki pencapaian anak didik S. Balachandran yang mara ke suku akhir namun tewas tipis 2-1 kepada Australia di Thailand pada 2014, menyebabkan mereka gagal mendapatkan slot ke Piala Dunia B-17 di Chile pada 2015.

Walau bagaimanapun Stuart menjelaskan bahawa FAM tidak mengikat sebarang kontrak dengan Teong Kim, sebaliknya jurulatih itu mempunyai perjanjian dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kuasa FAM terhad kepada pelantikan ketua jurulatih dan panel penolongnya, tetapi Teong Kim masih mempunyai baki kontrak bersama majikannya. Terpulang kepada KBS untuk menentukan masa depan Teong Kim,” katanya.