Bekas pemain tengah skuad kebangsaan Nidzam, 46, membimbing Kedah selaku jurulatih sementara selepas Tan Cheng Hoe melepaskan jawatan ketua jurulatih Lang Merah untuk menyertai kem kebangsaan pada awal bulan ini.

Kedah agak goyah dalam persa­ingan liga sejak Cheng Hoe diketahui akan meninggakan pasukan itu namun kini kelihatan kembali stabil.

Sejak tiga perlawanan di bawah kendalian Nidzam, Kedah mencatat keputusan memberangsangkan apabila menang dua perlawanan separuh akhir Piala FA ke atas Terengganu iaitu 1-0 dan 3-1, selain terikat 4-4 dengan PKNS FC dalam aksi Liga Super.

Pengurus pasukan Datuk Jeffrey Low berkata setakat ini KFA berpuas hati dengan prestasi Nidzam dan mereka begitu selesa bekerjasama dengannya.

“Satu tugasan yang besar untuk Nidzam malam esok (Sabtu) dan sudah tentu kami menaruh keyakinan terhadapnya untuk memenangi Piala FA.

“Buat masa ini kami belum memutuskan lagi perancangan seterusnya untuk dia tetapi apa yang pasti kami akan kekalkan dia kerana kontraknya masih berbaki setahun.

“Tiada sebab untuk kami ketika ini mencari penggantinya kerana kami berasa selesa bekerjasama dengan dia dan pemain juga sama,” katanya dalam sidang akhbar menjelang perlawanan akhir Piala FA di sini hari ini.