Tiga pasukan AMD Cougars layak ke perlawanan akhir Piala SuperMokh mengikut kategori umur iaitu bawah 14 (B-14), bawah 13 (B-13) dan bawah 12 (B-12) namun ketiga-tiga pasukan tersebut tumpas kepada lawan masing-masing.

AMD Cougars B-14 tewas 2-1 kepada Arsenal B-14 (England) manakala AMD Cougars B-13 kecundang 2-1 kepada Az Alkmaar (Belanda) dan AMD Cougars B-12 kalah 2-0 kepada Sporting CP B-12 (Portugal).

Begitupun, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tidak cepat melatah sebaliknya beliau berkata pembangunan pemain muda negara berada di landasan yang tepat kerana jurang di antara mereka dengan pemain lawan tidak terlalu jauh.

“Walaupun keputusan tidak memihak kepada ketiga-tiga pasukan daripada NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara), jika dilihat perbezaan jurang dengan kelab-kelab terkemuka di dunia kita tidaklah jauh ketinggalan.

“Saya fikir kita sama hebat dan ini merupakan perkemba­ngan yang positif sebab dengan adanya tiga kumpulan umur ini kita ada empat generasi melalui NFDP,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Dalam pada itu, Khairy berkata kejohanan tersebut menjadi platform terbaik untuk menyediakan ramai pemain di peringkat akar umbi dalam usaha meningkatkan mutu bola sepak negara.

“Saya berharap kejohanan ini dinantikan oleh kelab dan akademi bola sepak dari seluruh dunia,” katanya.

Kejohanan disertai oleh 24 pasukan Asia, Eropah dan Australia yang bersaing dalam tiga pertandingan peringkat umur sejak Rabu lalu. Setiap peringkat umur disertai lapan pasukan.