Menteri Belia dan Sukan, itu berkata, beliau akan membuat keputusan mengenainya selepas berjumpa dengan pihak yang mencalonkan nama beliau untuk merebut jawatan tertinggi dalam badan induk bola sepak negara itu.

Katanya, tujuan beliau untuk berjumpa pihak berkenaan adalah untuk mengetahui sebab mereka mencalonkan namanya untuk bertanding bagi menggantikan tempat Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada bulan depan.

“Soal saya pertimbang atau tidak pertimbangkan, selepas saya tahu sebabnya. Saya akan berjumpa pihak-pihak yang mencalonkan saya dalam minggu depan,” kata­nya dalam sidang a­khbar selepas menghadiri majlis penutup Persida­ngan Kepimpinan dan Aspirasi Kebangsaan 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Selain Khairy, tiga lagi tokoh bola sepak turut dicalonkan untuk menerajui FAM iaitu pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim; bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM Tan Sri Aseh Che Mat.

Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur secara terbuka mengakui mencalonkan Khairy dan beliau dikatakan mendapat jumlah pencalonan tertinggi. Jika Khairy bersetuju bertanding, Annuar dijangka memberi laluan kepadanya se­perti yang dinyatakan oleh bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) itu sebelum ini.

Berhubung status Annuar sama ada beliau layak bertan­ding memandangkan sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa, Khairy menjelaskan bahawa perkara itu bukanlah isu memandangkan kes masih dalam siasatan.

“Hanya kerana beliau disiasat tidak bermakna tidak boleh bertanding. Harapnya siasatan boleh selesai sebelum pemilihan pada Mac, tidak adil sekarang kalau kata beliau tidak layak bertanding,” jelas beliau.

Mengulas mengenai perkembangan kes denggi di sekitar Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, Khairy menjelaskan bahawa situasinya semakin baik dengan kes jangkitan telah menurun kepada satu kes dalam dua hari.

Beliau bagaimanapun mahu memastikan pemantauan dan semburan asap dilaksana secara berterusan.

“Buat masa ini keadaan terkawal, kita akan memastikan perkara ini tidak berulang. Kita akan pantau kawasan air bertakung, bukan hanya babitkan Bukit Jalil tetapi kawasan pembinaan lain berdekatan,” ujar beliau.