Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihak­nya telah mendapat pengesahan Muslim boleh beraksi daripada sekretariat Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Hamidin menjelaskan, penggantungan dua perlawanan yang akan dilalui Muslim akibat menerima kad merah ketika bertemu Vietnam hanya berkuat kuasa dalam perlawanan persahabatan akan datang dan hukuman itu tidak tertakluk kepada kejohanan kompetitif.

Berita itu membuatkan Dollah boleh tersenyum kerana setidak-tidaknya dia mempunyai lebih banyak pilihan untuk barisan pertahanan dengan Myanmar menanti Harimau Malaya dalam perlawanan sulung Ahad ini.

Jujur mengakui nama Muslim sememangnya ada dalam perancangan untuk diletakkan di dalam kesebelasan utama, Dollah berkata, dia cukup lega dengan pengesahan status pemain PDRM itu yang telah diujinya bergandingan dengan Mohd. Fadhli Shas dan Shukor Adan dalam beberapa perlawanan persahabatan.

“Keputusan ini saya sambut dengan rasa syukur, alhamdulilah...kerana saya selalu guna Muslim untuk bergandingan dengan Shukor Adan dan Fadhli Shas, jadi pemergiannya bersama pasukan nampaknya tidak sia-sia untuk perlawanan pertama.

“Dalam beberapa perlawanan sebelum ini, kita boleh nampak keserasian yang ada pada Muslim dengan pasukan...in sya Allah ketika beraksi dengan Myanmar nanti, bahagian pertahanan pasti akan lebih mantap dengan adanya dia,” katanya selepas sesi latihan Harimau Malaya di Bukit Jalil semalam.

Mengenai persoalan yang dilontarkan oleh Penasihat kepada Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengapa tidak menyenaraikan Razman Roslan dan Mohd. Nor Farhan Mohd, Dollah enggan mengulas panjang.

“Maaf, saya rasa tidak wajar cakap apa-apa, saya mahu beri tumpuan kepada pasukan sahaja,” katanya.

Mengenai analisis pertemuan dengan Vietnam, Dollah berpendapat ada perkara yang positif dan negatif namun melihat hampir keseluruhan pemain sudah bangun daripada tidur terutama pada separuh masa pertama.

“Permainan di bahagian serangan cukup memuaskan hati saya kerana di babak pertama gandingan Amri Yahyah-Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) nampak makin serasi dan menjadi walaupun keputusan sedikit menghampakan.

“Apa yang saya harapkan momentum ini dapat dibawa ke Singapura terutama semasa lawan Myanmar,” katanya.

Dia bagaimanapun bimbang dengan bahagian pertahanan yang begitu goyah selepas Muslim dilayangkan kad merah dan aksi kelam kabut mula dipamerkan oleh anak-anak buahnya dalam menangani corak serangan pantas Vietnam.