Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya kini dalam peringkat rundingan terakhir sebelum mengikat kontrak dengan Aidil Sharin.

Katanya, KFA turut mengumumkan pelantikan  bekas ketua jurulatih Piala Presiden, Victor Andrag sebagai penolong jurulatih.

"KFA yakin dengan gandingan Aidil Sharin dan Victor Andrag akan mengembalikan kegemilangan skuad Lang Merah musim depan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Majlis Eksekutif KFA, di sini hari ini.

Kedah yang gagal melepasi saingan peringkat Kumpulan C Piala Malaysia musim ini telah menggunakan khidmat tiga jurulatih iaitu Ramon Marcote, diikuti Mohd. Nidzam Adzha Yusof dan Azzmi Abd. Aziz.

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Aidil Sharin dan Victor yang masing-masing berusia 41 tahun diyakini mampu membawa pembaharuan dalam pasukan Kedah terutama membabitkan barisan pemain yang bakal ditentukan kelak.

"Jurulatih baharu ini akan diberi mandat sepenuhnya untuk membuat sebarang keputusan termasuk memilih dan mencadangkan barisan pemain baharu termasuk pemain import baharu dan yang sedia ada.

"Apa sahaja keputusan yang akan dibuat jurulatih mengenai barisan pemain ini akan ditimbangkan secara positif oleh Jawatankuasa Eksekutif," jelasnya.

Beliau menambah, setakat ini, pasukan tersebut mempunyai lima pemain yang masih mempunyai baki kontrak sehingga hujung 2019 manakala kontrak pemain yang lain akan tamat musim ini. - UTUSAN ONLINE