Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, pihaknya telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memuaskan hati penyokong Lang Merah termasuk dalam soal memastikan Kedah dapat menyertai Piala AFC yang bermula Februari depan.

“Saya selaku setiausaha yang menguruskan (permohonan lesen), kami telah mengikut langkah-langkah disarankan, kami tidak lewat seperti didakwa. Kami hantar mengikut tarikh diberikan, kami hantar semua dokumen.

“Kami di KFA bekerja bermati-matian untuk memuaskan hati peminat Kedah. KFA menerima keputusan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) namun kami telah berusaha untuk mendapatkan lesen AFC bagi membolehkan Kedah beraksi di pentas antarabangsa,” katanya ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Ditanya punca KFA gagal mendapatkan lesen AFC walaupun berjaya memperoleh lesen FAM, Aminuddin berkata: “Tidak dinafikan yang syarat untuk mendapatkan lesen Liga Super lebih tinggi namun mungkin ada kriteria untuk mendapatkan lesen AFC yang kami tidak penuhi. Kami pun sedang memperincikan semula klausa-klausa untuk mendapatkan lesen AFC walaupun berdasarkan perkiraan, KFA telah memenuhinya.

“Oleh itu, kami akan me­rayu sekali kepada FAM, kami akan memperincikan gerak kerja yang dibuat dan dokumentasi segala aspek. Mudah-mudahan pihak FAM ada pertimbangan yang baik untuk KFA,” ujarnya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Nor Saidi Nanyan (BN-Kuah) berhubung status Kedah dalam saingan AFC, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan negeri itu memberitahu, KFA masih belum menerima surat rasmi daripada FAM berhubung soal kelayakan tersebut.

“Kami belum terima surat rasmi daripada FAM yang me­ngatakan Kedah tak layak. Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam mengesahkan belum ada keputusan rasmi,” katanya.