FAM juga menafikan dakwaan kononnya pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya, dijadikan alat mengaut keuntungan, sehingga harga tiket dinaikkan.

Dalam dunia bola sepak moden, pasukan bola sepak kebangsaan adalah produk utama mana-mana badan induk yang dipertanggungjawabkan mengurus tadbir bola sepak.

Daripada sudut pemasaran dan komersial, FAM perlu memaksimumkan nilai pasukan kebangsaan bagi menjana pendapatan dan mencari sumber kewangan untuk disalurkan semula ke dalam bentuk pembangunan pasukan kebangsaan pelbagai peringkat umur.

Sebagai badan induk yang berdepan masalah kewangan terhad, FAM mengalu-alukan tawaran pihak ketiga seperti ProEvents menganjurkan kejohanan sebegini.

Bagi Piala Air Marine 2019, ProEvents sebagai promoter kejohanan ini mengambil risiko menganjurkan kejohanan sebegini dengan mencari sumber tajaan sendiri dan menanggung kos operasi penganjuran membawa masuk tiga negara ke Kuala Lumpur.

Justeru, harga jualan tiket yang telah ditetapkan itu adalah bagi menampung kos-kos yang berkaitan. Sebelum ProEvents meraih apa-apa keuntungan, mereka perlu menampung terlebih dahulu kos yang telah dibelanjakan bagi menjayakan kejohanan ini.

“FAM menerima RM300,000 daripada ProEvents sebagai yuran penganjuran. Daripada yuran itu, FAM menggunakan wang berkenaan untuk membiayai kos operasi, bonus pasukan selain dikembalikan kepada bola sepak menerusi pengurusan pasukan-pasukan kebangsaan yang lain iaitu pasukan B-16, B-19, wanita dan juga futsal.

“Harga tiket RM35 untuk menyaksikan dua perlawanan bagi setiap hari perlawanan Piala Air Marine seharusnya tidak dijadikan isu oleh penyokong yang sentiasa berdiri teguh di belakang skuad Harimau Malaya.

“Sebagai perbandingan, pada tiga perlawanan persahabatan antarabangsa tahun lalu yang ditanggung sepenuhnya kos penganjuran oleh FAM dengan mengenakan harga tiket terbuka di antara RM20 dan RM30, FAM telah menanggung kerugian selepas ditolak segala kos penganjuran.

“Ketika menentang Bhutan di Stadium Nasional pada 1 April 2018, sebanyak 3,187 tiket dijual dengan jumlah kutipan RM81,460 tetapi FAM menanggung kerugian sebanyak RM100,464.88 selepas menolak kos, termasuk sewaan stadium, penginapan dan tiket penerbangan pasukan pelawat serta elaun pegawai pertandingan.

“Seterusnya pada perlawanan bertemu Fiji di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 5 Julai 2018, tiket terjual adalah 1,220 dengan kutipan sebanyak RM30,550 dan FAM telah menanggung kerugian sebanyak RM71,712.85,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut badan itu lagi, bagi pertemuan dengan Maldives di Stadium Nasional pada 3 November 2018, tiket yang terjual ialah 6,173 dengan kutipan sebanyak RM113,705. FAM menanggung kerugian RM26,435.68.

Di sebalik kos penganjuran yang tinggi, FAM sentiasa mentikberatkan usaha memenuhi tuntutan semasa dan mengambil kira pandangan penyokong yang mendesak sistem tiket di stadium dipertingkatkan. - UTUSAN ONLINE