Southgate berkata, dia telah mengambil risiko besar untuk kempen Piala Dunia England dan meletakkan dirinya berada dalam tekanan menjelang pertembungan peringkat 16 terbaik di Moscow, Rabu minggu depan.

Selaku bos England, Southgate membuat keputusan merehatkan lapan pemainnya sewaktu menentang Belgium, dan ini bermakna pencabar yang bakal mereka hadapi adalah Colombia, pasukan yang menghuni kedudukan ke-16 dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berbanding menentang Jepun yang berada di tangga ke-61 dunia di peringkat kalah mati.

“Sudah tentu, jika kami tidak menang, saya faham orang akan berkata apa sahaja yang mereka suka, tetapi bagi saya ia merupakan satu tindakan yang betul dan anda perlu membuat keputusan di mana anda percaya ia satu keputusan yang tepat.

“Siapa sahaja lawan yang kami temui, kami percaya mampu menewaskan mereka. Begitu juga dengan pencabar kami nanti, mereka juga berkemampuan mengalahkan kami.

“Tetapi kami perlu mempersiapkan pasukan,” kata Southgate.

England menerima suntikan semangat selepas John Stones dan Dele Alli kembali cergas untuk berdepan Colombia, manakala Raheem Sterling akan mengisi posisi Marcus Rashford. – AGENSI