Maka, tidak hairanlah jika seorang penyelidik sosial di Yayasan Salah, Hassan Bakr memuji pemain itu sebagai seorang yang tidak sombong dan sentiasa merendah diri. Ketika ditanya kepada Hassan apa yang disukainya tentang Salah, lelaki itu hanya menjawab pendek: “Kerendahan hatinya.”

Bagi peminat tegar Liverpool, sikap tersebut sebenarnya sering dilihat penyokong setiap kali Salah beraksi bersama skuad bimbingan Jurgen Klopp. Disebabkan rasa hormat yang tinggi melangit terhadap Salah, ada peminat mencipta sebuah lagu sorakan untuknya, malah, apa yang lebih mengejutkan ialah maksud yang terkandung di sebalik bait lirik itu.

“Mo Sa-la-la-la-lah, Mo Sa-la-la-la-lah, jika dia cukup bagus untuk anda, dia juga bagus untuk saya, jika dia menjaringkan beberapa gol lagi, maka saya sedia menjadi seorang Muslim. Dia duduk di dalam masjid, di situlah juga saya mahu berada.” Itulah sorakan peminat buat Salah yang sering dinyanyikan dari stadium dan pelbagai lokasi lain di seluruh dunia.

Selain sorakan itu, peminat Salah juga ada mencipta lagu yang menggunakan nama jolokannya Egyptian King, yang mana terdapat segelintir pihak menyifatkan lagu tersebut amat sesuai digunakan sebagai usaha memerangi perkauman dalam bola sepak di England.

Aura positif penjaring terbanyak Liverpool itu juga dilihat mampu menghentikan Islamophobia di negara berkenaan. “Mo Salah mampu mengakhiri pertembungan tamadun berbanding individu lain di dunia ini,” kata seorang penulis, Karl Sharro.

Bercakap tentang kebajikan pula, Salah yang berasal dari sebuah perkampungan di Najrij, tidak pernah melupakan penduduk miskin di tempat lahirnya itu. Terdapat beberapa projek kebajikan yang dibiayai Salah, antaranya Institut Azhari untuk melindungi remaja perempuan yang dibina dengan kos sebanyak AS$450,000 (RM1.75 juta).

Dia bertanggungjawab membantu membangunkan produk Organisasi Projek Perkhidmatan Nasional di kampungnya, selain menyediakan perkhidmatan ambulans. Penubuhan Yayasan Salah pula dilakukannya selepas penduduk miskin dikampungnya memohon bantuan daripada pemain itu bagi meringankan kesusahan hidup yang ditanggung mereka.