Zaiton Othman

Namun, beliau enggan mendedahkan bentuk hukuman yang bakal diterima badan bola sepak negara itu kerana belum berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Kata Zaiton, selepas meneliti laporan yang diterima daripada FAM, beliau sudah menyerahkan kepada Khairy bentuk hukuman yang akan diambil ke atas persatuan tersebut.

“Saya sudah tulis memo kepada menteri untuk mengesyorkan tindakan yang perlu diambil. Tindakan atau tanpa tindakan ke, saya dah syorkan.

“Saya tak boleh bagi tahu kandungan memo tersebut. Cuma sekarang, saya hanya menunggu arahan menteri untuk tindakan selanjutnya.

“Saya pun tak boleh nak komen panjang kerana saya dan menteri belum dapat bersemuka lagi sebab masing-masing sibuk dengan Hari Sukan Negara. 
 “Tunggu selepas saya mengadakan perbincangan lanjut bersama menteri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Khairy sebelum ini membayangkan, penggantungan atau pembatalan pendaftaran tidak mungkin menjadi pilihan hukuman yang dikenakan terhadap FAM ekoran insiden kekecohan penyokong dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam, 8 September lalu.

Khairy sebelum ini mahu Zaiton memikirkan implikasi yang mungkin diterima FAM atas sebarang keputusan yang diambil kerana peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak membenarkan campur tangan kerajaan dalam pentadbiran ahli gabungannya.

FAM sebelum ini sudah didenda 40,000 Swiss franc (RM180,000) dan diberikan amaran oleh FIFA.

Kemenangan 3-0 turut dihadiahkan Arab Saudi, manakala Harimau Malaya dihukum bermain dalam stadium kosong apabila menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di laman sendiri dalam aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia pada 17 November ini.

Sementara itu, mengulas berhubung Akta Pembangunan Sukan 1997 mungkin akan dipinda, Zaiton berkata, sudah sampai masanya ia perlu dipinda dan menambah baik akta sedia ada.

“Untuk meminda akta tersebut sangat bagus dan perlu kerana mengikut tempoh, sesuatu akta itu tidak boleh terlalu lama.

“Banyak perkara yang kita sudah kenal pasti yang memerlukan pindaan agar lebih progresif, relevan dan dinamik lagi dalam pendekatan kita,” katanya.