Kemuncak kemarahan itu ialah apabila penyokong enggan keluar dari stadium, sebaliknya cuba masuk ke kawasan padang dan membaling pelbagai objek termasuk botol, batu dan mercun ke arah pengadil serta pemain Lions XII. Namun, tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Penyokong menyifatkan pengadil, Suhaimi Mat Hassan bukan sahaja gagal mengawal permainan dengan bijak, malah cenderung membuat keputusan berat sebelah yang dianggap sebagai punca utama kekalahan skuad Bujang Senang.

Rasa tidak puas hati penyokong bermula apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Lions XII pada minit ke-72 selepas bola dikatakan terkena tangan pemain pertahanan, Yosri Derma Raju. Ketua pasukan Singapura, Shahril Ishak berjaya menyempurnakan sepakan.

Insiden itu menimbulkan kontroversi kerana Yosri menafikan dakwaan pengadil sehingga membawa kepada layangan kad kuning terhadap beberapa pemain Sarawak yang turut membantah keputusan tersebut.

Kemarahan penyokong bertambah apabila Suhaimi tidak memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah setelah pemain pertahanan pelawat dikatakan melakukan kesalahan sama beberapa minit kemudian.

Ekoran daripada itu, suasana tegang berlarutan hampir dua jam selepas wisel penamat dibunyikan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, insiden tersebut boleh dianggap 'luar biasa' kerana penyokong Bujang Senang tidak pernah bertindak liar sebegitu.

"Mereka bertindak mengikut emosi bukan kerana Sarawak kalah tetapi kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.

"Sebelum ini kita pernah kalah di tempat sendiri beberapa kali, tidak ada masalah pun, malah penyokong menerima kekalahan dengan hati terbuka," katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, pihaknya dengan bantuan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) berjaya mengawal keadaan bagi mengelak situasi menjadi lebih buruk.

"Seramai 140 anggota polis serta Rela dikerahkan dalam operasi menyuraikan kira-kira 2,000 penyokong fanatik yang berkumpul di luar stadium namun tiada sebarang tangkapan dibuat," katanya.