Reds sekali lagi mengalami keputusan mengecewakan apabila seri 1-1 di St. James’ Park, dan Klopp sukar menerima pasukannya ha­nya pulang bersama satu mata, berterima kasih gol menakjubkan perancang utama Brazil, Philippe Coutinho.

“Saya fikir kami adalah pasukan yang lebih baik malam ini dan mencipta ba­nyak peluang terbaik.

“Kami sepatutnya pulang sebagai pemenang dan keputusan ini tidak adil,” kata pengurus Liverpool itu, yang menyaksikan pasukannya keciciran tujuh mata di belakang dua kelab teratas, Manchester City dan Manchester United.

Kemenangan di Newcastle mampu melonjakkan Reds dalam kelompok empat teratas, dan peluang untuk menang pada awalnya kelihatan cerah selepas Coutinho meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-29 hasil jaringan cantik dari luar kotak penalti.

Begitupun kerapuhan pertahanan sekali lagi menghukum Liverpool apabila Joel Matip gagal mengawal penyerang lawan, Joselu yang mudah melepasi benteng Reds sebelum menewaskan penjaga gol, Simon Mignolet.

Biarpun hanya menang tiga daripada tujuh perlawanan musim ini, Klopp menegaskan, peluang Liverpool untuk mencabar kejuaraan liga belum tertutup kerana saingan masih panjang.

“Saya tidak boleh bercakap tentang jurang antara kami dan pasukan lain. Ya, kami sedang berdepan detik sukar ketika ini tetapi pasukan lain juga akan menghadapi situasi yang sama kerana liga masih panjang.

“Saya cuma merasakan, kami tidak terlalu jauh untuk mencabar kejuaraan. Kalau kami boleh menjaringkan lebih banyak gol dan memenangi lebih banyak perlawanan, keadaan akan berubah,” ujarnya lagi.

Sementara itu, bekas legenda Reds, Jamie Carragher menyelar mentaliti pemain Liverpool yang tidak menunjukkan kesungguhan untuk mendapatkan keputusan terbaik.

Bekas pertahanan Reds itu merasakan, anak-anak buah Klopp bermain terlalu bersahaja terutama ketika melakukan hantaran, selain terus bergelut di bahagian pertahanan.

“Saya banyak bertukar pe­ngurus dari Gerard (Houllier) hingga (Rafael) Benitez. Kami ketika itu sentiasa bermain dengan pemikiran bertahan.

“Mereka tidak sebagus yang sepatutnya untuk berada dalam pasukan Liverpool. Apabila bermain menentang Newcastle di tempat lawan, anda patut ada pemikiran, kami adalah pertahanan...kami mahu pastikan pasukan tidak dibolosi,” ujarnya kepada Sky Sports. – AGENSI