Pemain berusia 24 tahun itu yang memiliki satu cap bersama skuad kebangsaan Sepanyol, bakal menjadi penjaga gol termahal dalam sejarah bola sepak dan dia merupakan pengganti kepada penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois, yang dijangka meninggalkan Stamford Bridge bagi menyertai Real Madrid.

Akhbar harian sukan, Marca melaporkan bahawa Chelsea bersedia memenuhi tuntutan klausa pelepasan 80 juta euro yang tercatat di dalam kontrak Kepa, dan nilai tersebut mengetepikan rekod 75 juta euro (RM353 juta) harga yang perlu dibayar Liverpool bagi mendapatkan khidmat penjaga gol Brazil, Alisson Becker dari Roma.

“Kelab Britain itu telah memilih Kepa sebagai pengganti Courtois, yang dalam tempoh beberapa jam lagi bakal diumumkan sebagai pemain baharu Real Madrid,” kata Marca.

Pesaing kepada Marca, AS pula berkata, rundingan yang dijalankan semakin hampir selesai.

“Jika semua yang diatur mengikut perancangan, Kepa akan terbang ke London untuk diperkenalkan sebagai pemain baharu Blues, hari ini ataupun esok,” jelas AS.

Akhbar Catalan, Mundo Deportivo turut melaporkan bahawa Kepa akan ditandatangani pengurus Chelsea, Maurizio Sarri.

Media Britain juga mula melaporkan mengenai berita terbaharu itu, hari ini, dengan BBC berkata, Kepa kini berada dalam rundingan selanjutnya dengan kelab London tersebut.

Kepa yang bermain bersama kelab La Liga, Bilbao sebanyak 53 kali sejak lebih dua musim lalu, melakukan penampilan sulung di pentas antarabangsa sewaktu Sepanyol membelasah Costa Rica 5-0 dalam aksi persahabatan pada November 2017.

Dia turut berada di dalam skuad Sepanyol pada Piala Dunia di Rusia, baru-baru ini sebagai penjaga gol simpanan kepada David De Gea, tetapi tidak diberi peluang bermain sepanjang pertandingan itu.

Sementara itu, media Sepanyol turut mendakwa Chelsea bersedia membawa masuk pemain tengah, Mateo Kovacic secara pinjaman dari Real Madrid selepas usaha kerasnya membantu Croatia menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Piala Dunia.

Ujian pertama pengurus, Sarri di atas padang sejak mengambil alih daripada Antonio Conte ialah perlawanan pembukaan musim di laman lawan menentang Huddersfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu ini. - AFP